Prestasi Jemaah Menteri capai 90% dalam 100 hari, kata Ismail

Prestasi Jemaah Menteri capai 90% dalam 100 hari, kata Ismail

Perdana Menteri berkata sasaran penuh petunjuk prestasi utama (KPI) tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada dan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun pencapaian tidak menepati sasaran 100%, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pandemik Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Prestasi keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri yang mencapai sekitar 90% kejayaan bukan alasan untuk mendabik dada sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk barisan kabinet terus bekerja bersama rakyat, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata sasaran penuh petunjuk prestasi utama (KPI) tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

“Meskipun pencapaian tidak menepati sasaran 100%, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pandemik Covid-19.

“(Ia dengan) mengetepikan segala kerenah birokrasi. Bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata. Maka peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, jemaah menteri, timbalan menteri, ketua-ketua perkhidmatan dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Ismail berkata 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut, membabitkan 31 menteri daripada lima Kluster iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

Beliau berkata pada 24 Sept lepas, beliau telah memuktamadkan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diukur berdasarkan 50% perkhidmatan teras kementerian, penilaian prestasi menteri (25%) dan persepsi awam (25%) terhadap menteri dan kementerian.

Menurutnya 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.

“Usaha ini merupakan permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah menggariskan enam teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari iaitu menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.