Benarkan mahkamah segerakan perbicaraan jenayah, kata bekas presiden Badan Peguam

Benarkan mahkamah segerakan perbicaraan jenayah, kata bekas presiden Badan Peguam

Kerajaan mesti meminda Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan mahkamah berbuat demikian, kata bekas presiden Badan Peguam.

(Reuters pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti meminda Kanun Prosedur Jenayah (CPC) bagi membolehkan mahkamah menyegerakan perbicaraan jenayah, terutamanya kesalahan yang membawa hukuman mati, kata seorang bekas presiden Badan Peguam Malaysia.

Salim Bashir berkata, Seksyen 172B kanun tersebut pada masa ini hanya membenarkan mahkamah memainkan peranan penyeliaan.

“Dalam keadaan biasa, Pendakwa Raya, yang juga Peguam Negara, akan mengeluarkan keizinan hanya setelah mendapatkan keterangan dan dokumen yang diperlukan untuk membolehkan pemindahan (kes serius ke mahkamah lebih tinggi untuk dibicarakan),” katanya.

Tambahnya, keperluan keizinan secara bertulis sebelum pemindahan ke Mahkamah Tinggi harus dimansuhkan.

Sebaliknya, katanya, penampilan Timbalan Pendakwa Raya sebagai wakil Pendakwa Raya patut dibenarkan dianggap sebagai keizinan.

Peguam itu mengulas kes yang dilaporkan oleh FMT awal minggu ini, di mana lima lelaki yang ditahan selama hampir setahun atas tuduhan membunuh telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Semua individu itu, yang ditahan reman di penjara Ulu Choh di Johor sejak 24 Dis tahun lepas, tidak dibenarkan ikat jamin kerana mereka berdepan hukuman mati sebagai tertuduh membunuh.

Mereka akhirnya didakwa menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya dan majistret membenarkan ikat jamin apabila mereka menuntut perbicaraan atas tuduhan baharu itu.

Salim berkata, walaupun CPC menyatakan bahawa “perbicaraan akan bermula 90 hari selepas tertuduh didakwa”, itu tidak berlaku dalam kes yang rumit.

Katanya, adalah berhemah bagi pihak pendakwaan untuk menyegerakan usaha mendapatkan dokumen daripada agensi berkaitan seperti jabatan kimia dan hospital kerajaan.

Dalam kes lima lelaki itu, didedahkan bahawa mereka telah dihadapkan di mahkamah majistret sebanyak 10 kali sepanjang tahun lalu sementara menunggu laporan bedah siasat dan keizinan daripada Pendakwa Raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Peguam A Srimurugan berkata, pemberian ikat jamin sepatutnya menjadi peraturan, manakala penahanan bawah reman sebelum tertuduh didapati bersalah suatu pengecualian.

“Hanya mereka yang mungkin mengganggu saksi dan menjejaskan keterangan patut berada dalam tahanan,” katanya.

Srimurugan berkata, tidak adil untuk membenarkan tertuduh meringkuk dalam tahanan bagi tempoh yang lama sementara menunggu perbicaraan akibat kelemahan prosedur.

“Hakim tidak boleh berdiam diri sebagai penonton apabila kebebasan tertuduh menjadi taruhan,” katanya.

Srimurugan berkata, seseorang yang dibebaskan daripada kesalahan hukum bunuh tidak boleh mendapatkan pampasan bagi kehilangan kebebasan.

Peguam itu berkata, CPC perlu dipinda bagi memberi hakim lebih kuasa untuk memaksa pihak pendakwaan memulakan perbicaraan dengan segera atau memutuskan DNAA bagi tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.