
Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama pasukan pembelaan Najib dalam perbicaraan melibatkan SRC International dan 1MDB berkata, bukti itu termasuk pendedahan bahawa kira-kira RM65 juta dana berkaitan 1MDB diperoleh semula daripada syarikat yang dikawal suami bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.
Dalam sidang media hari ini, beliau turut menyebut mengenai wang USD864,813.27 (RM3.6 juta) yang dipulangkan kepada Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Kementerian Kewangan daripada bekas CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.
Shafee mendakwa pihak pembelaan tidak diberikan semua dokumen dan maklumat seperti itu yang menjadi haknya di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.
Tambahnya, pihaknya pasti memanggil Zeti sebagai saksi dalam perbicaraan sekiranya mangetahui mengenai dana yang disalurkan kepada suaminya oleh ahli perniagaan Low Taek Jho yang merupakan dalang di sebalik skandal 1MDB.
“Apakah perbicaraan yang dilalui anak guam saya? Dia ibarat masuk gelanggang tinju dengan satu tangan diikat di belakangnya. Dia tidak diberikan perbicaraan adil yang menjadi haknya,” katanya.
Shafee berkata “penyekatan” bukti ini adalah punca pembelaan memfailkan usul di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan bahan bukti lanjut bagi rekod dan pertimbangan hakim sebelum keputusan diberikan.
Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan rayuan pada 8 Dis.
Katanya, pendedahan terbaru oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mewujudkan keadaan yang perlu dijawab berkaitan pembelaan Najib.
Tambahnya, pasukan pembelaan juga akan memohon supaya usul itu didengar segera.
Disoal mengapakah usul itu baharu difailkan sekarang, Shafee berkata, ini disebabkan perkara-perkara yang baharu didedahkan dalam tempoh dua minggu lalu.
Katanya, pembelaan telah berusaha mendapatkan lebih fakta selepas suami Zeti itu dikaitkan dengan dana berjumlah jutaan ringgit tahun lalu. Bagaimanapun dakwanya, pihaknya telah “disekat” daripada berbuat demikian.
“Dalam setahun ini, pelbagai pihak berkuasa siasatan dan pendakwaan mendakwa tidak mempunyai bukti seperti itu,” katanya.