KL City tamatkan penantian 32 tahun julang Piala Malaysia

KL City tamatkan penantian 32 tahun julang Piala Malaysia

JDT ditundukkan 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

KL City menamatkan penantian 32 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia selepas membenam JDT 2-0. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kuala Lumpur City (KL City) menamatkan penantian 32 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia selepas membenam Johor Darul Takzim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dua gol pada babak kedua menerusi Zhafri Yahya dan Paulo Josue sudah cukup untuk menyingkirkan juara bertahan itu.

Kali terakhir KL City merangkul piala tertua di Malaysia ialah pada 1989.

Walaupun menguasai perlawanan, JDT dikejutkan jaringan pemain tengah, Zhafri sekali gus meletakkan skuad ‘City Boys’ di hadapan pada minit ke-66.

KL City mengukuhkan kedudukan apabila perancang utama, Josue melebarkan jurang lapan minit kemudian untuk kedudukan semasa 2-0.

JDT melakukan serangan habis-habisan pada beberapa minit terakhir untuk memburu jaringan tetapi pertahanan KL yang diketuai oleh penjaga gol Filipina, Kevin Mendoza cukup kental untuk memastikan kemenangan.

Kemenangan itu menandakan kejayaan keempat KL dalam kejohanan itu.

Kekalahan itu juga mengejutkan peminat yang memilih JDT sebagai pasukan kegemaran untuk menjulang piala tersebut.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora awal pagi tadi dilaporkan sebagai berkata bahawa Harimau Selatan “akan cuba memakan lawan dan kami akan menjaringkan gol”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.