Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Singapura

Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Singapura

Pasangan negara itu menewaskan beregu Korea Selatan Seo Seung Jae-Kim Won Ho dalam tiga set pada aksi final.

Aaron -Wooi Yik
Pasangan nombor 3 dunia dari Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit dari kekalahan set pertama untuk menewaskan lawan mereka dari Korea Selatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Juara beregu lelaki Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta rekod peribadi hari ini apabila memenangi gelaran Terbuka Singapura, kejuaraan ketiga mereka dalam tempoh setahun.

Ia bukan tugas mudah buat pasangan nombor 3 dunia itu apabila mereka terpaksa bangkit selepas tewas set pertama untuk menumbangkan pasangan Korea Selatan di ranking ke-10, Seo Seung Jae-Kim Won Ho 15-21, 21-18, 21-19 dalam masa 65 minit.

Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran Kejohanan Badminton Asia pada April dan kejuaraan Terbuka Thailand dua minggu lalu. Ini merupakan gelaran pertama mereka di Singapura.

Kedua-dua pasangan itu pernah bertemu dua kali dengan masing-masing mencatat satu kemenangan.

Dalam temu bual selepas perlawanan, Aaron berkata kekuatan mental dan fokus dalam perlawanan membawa kepada kemenangan mereka hari ini, walaupun letih selepas bermain dalam tiga kejohanan berturut-turut.

“Kami beritahu diri kami supaya tidak gopoh tetapi terus bermain satu mata demi satu mata. Kami berterima kasih kepada peminat di sini dan di tanah air atas dorongan dan sokongan mereka. Kemenangan ini bukan untuk kami sahaja tetapi juga untuk semua,” katanya.

Pemenang pingat gangsa Olimpik dua kali itu akan membawa pulang USD74,000 (RM315,296) sebagai juara Terbuka Singapura manakala naib juara membawa pulang USD35,000 (RM149,126) dalam kejohanan Jelajah Dunia Super 750.

Aaron-Wooi Yik, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan, kini telah memenangi lima gelaran sepanjang kerjaya mereka.

Kemenangan hari ini juga menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia selama 17 tahun dalam acara beregu lelaki di Terbuka Singapura. Kali terakhir pasangan Malaysia memenangi gelaran tersebut adalah Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari pada 2008.

Aaron-Wooi Yik menunjukkan prestasi cemerlang di Singapura apabila menewaskan beberapa pasangan terbaik dunia, antaranya pasangan Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, pasangan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, rakan senegara Man Wei Cheong-Tee Kai Wun dan pasangan India Chirag Shetty-Satwiksairaj Reddy dalam perjalanan ke final.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.