
Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu memperbaiki keadaan kewangan golongan berkenaan tetapi juga kesihatan mental mereka.
“Ramai pekerja yang berasa cemas ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana bimbang dengan keselamatan pekerjaan mereka. Keadaan bertambah buruk bagi mereka yang hilang kerja ketika pandemik.
“Ini kerana pengangguran dalam tempoh panjang akan memberikan banyak tekanan kewangan dan mental kepada mereka,” katanya kepada FMT.
Bilangan penganggur Malaysia meningkat kepada 711,000 pada 2020 daripada 508,200 pada 2019, manakala pengangguran belia meningkat kepada 314,000 daripada 295,800 dalam tempoh yang sama, menurut MEF.
Susulan itu, kerajaan telah melancarkan program Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk mewujudkan 600,000 pekerjaan melalui insentif pengambilan pekerja, pekerjaan jangka pendek dan program peningkatan kemahiran.
Majikan yang mengambil rakyat Malaysia yang belum bekerja secara aktif akan diberikan subsidi gaji sebanyak 20% daripada gaji bulanan untuk enam bulan pertama dan 30% untuk enam bulan berikutnya. Program itu bagaimanapun hanya membabitkan pekerjaan yang menerima gaji bulanan sebanyak RM1,500 dan ke atas.
Syarikat yang menggaji wanita dan pekerja daripada kumpulan rentan, orang kurang upaya, bekas banduan, veteran tentera dan mereka yang berumur 50 tahun ke atas pula akan menerima insentif 30% subsidi gaji untuk tempoh enam bulan pertama dan 40% untuk enam bulan berikutnya.
Syed Hussain berkata, bantuan kewangan dan peluang pekerjaan yang diberikan kepada mereka yang bergelut ketika pandemik Covid-19 juga bertujuan memastikan mereka kekal bermotivasi.
“Harapan agar ada peluang pekerjaan diperoleh mereka dalam masa terdekat pastinya akan meringankan beban yang terpaksa mereka pikul,” tambahnya.
Sementara itu, pakar psikologi klinikal Dr Chua Sook Ning menekankan kepentingan kesejahteraan mental dalam pemulihan ekonomi.
“Jika kita mahu ekonomi pulih, kita juga perlu memastikan orang ramai mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk sihat, termasuk sokongan kewangan, pekerjaan, sosial dan kesihatan.
“Kajian menunjukkan golongan yang mempunyai kesihatan mental yang lemah sukar untuk diambil bekerja dan seterusnya menyumbang kepada kesihatan mental yang lebih rendah.
“Begitu juga orang yang menganggur berkemungkinan mempunyai tahap kesihatan mental yang lebih rendah. Jadi kesihatan mental dan pengangguran berhubung kait antara satu sama lain.”