
Beliau berkata, laporan itu perlu diserahkan kepada menteri terbabit sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa tiga minggu lagi.
“Saya tidak mahu amalan lampau di mana pengumuman dibuat, tindakan mengambil masa enam bulan sehingga setahun atau lebih. Pengumuman dibuat hari ini, dalam tempoh dua minggu laporan sampai ke meja menteri dan laporan tindakan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu.
“Jika tidak, baik Perkeso, HRD Corp, TalentCorp dan lain-lain agensi dipanggil naik ke pentas untuk jawab soalan, bersama Menterinya Ramanan (Menteri Sumber Manusia, R Ramanan),” katanya ketika menyampaikan amanat Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, yang dihadiri 15,000 warga kerja daripada sektor awam dan swasta dari seluruh negara di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Terdahulu, Anwar mengumumkan tiga inisiatif utama, iaitu pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin bagi wanita yang menyediakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari (sebulan) yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.
Turut diumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
Ia merangkumi dana RM580 juta oleh Perkeso bagi membantu pekerja kehilangan pekerjaan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan peruntukan RM100 juta di bawah HRD Yakin Madani untuk latihan dan penempatan kerja.
Selain itu, RM20 juta disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) bagi latihan pekerja gig serta RM10 juta menerusi TalentCorp bagi Geran Padanan Latihan Industri untuk menyokong PMKS dan syarikat pemula.
Inisiatif ketiga ialah pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Sementara itu, Anwar menyeru majikan lebih prihatin dan berihsan dalam memastikan kebajikan pekerja terus terbela.
Menurutnya, keamanan dan pembangunan pesat negara mesti bergerak seiring jaminan kesejahteraan semua lapisan masyarakat termasuk pekerja.
Beliau membangkitkan persoalan sama ada pekerja, khususnya di peringkat bawahan dan pertengahan menerima pembelaan sewajarnya dengan perkembangan itu.
“Kita (boleh) senaraikan berapa syarikat peringkat atas di negara kita, untung RM1 bilion, RM2 bilion (tetapi) mahu naikkan gaji pekerja RM40 pun sukar. Kita mahu pekerja disiplin produktiviti tinggi, itu tanggungjawab pekerja di semua peringkat.
“Kita mahu di negara ini bersih, maka tukang sapu sampah dan tukang cuci berkorban. Jadi, boleh tidak kita renungkan, ketuk pintu hati dan tanya apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya?” soalnya yang menggesa semua kepimpinan syarikat bermuhasabah dan menilai semula layanan diberikan kepada pekerja.
Tegasnya, kerajaan akan terus memberi penekanan khusus terhadap isu gaji pekerja sebagai antara agenda utama pentadbiran.