
Menteri Dalam Negeri berkata, lantikan yang dibuat atas asas lobi kontraktor menyebabkan banyak masalah timbul, terutama projek gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
“Saya mohon selaku salah seorang menteri kepada JKR (Jabatan Kerja Raya), kalau ada projek hendak dibangunkan bersama, cari kontraktor yang benar-benar mampu.
“Kita tak mahu masalah ini (kelewatan) timbul kemudian hari. Siapa JKR lantik kita terima sahaja, tetapi biarlah dengan prosedur yang betul, bukan kerana lobi-melobi.
“Yang kuat melobi itulah kita selalu bagi (projek) dan jadi masalah di kemudian hari,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek IPD Iskandar Puteri.
IPD Iskandar Puteri bernilai RM89.4 juta yang tertangguh sejak 2016 sebelum ini dilaporkan merupakan antara lapan projek yang dikenal pasti sebagai “projek sakit” di Johor kerana gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Dalam pada itu Hamzah berkata, sebanyak lima projek IPD sedang dalam pembinaan, iaitu di Mualim, Perak (RM85 juta), Jeli di Kelantan (RM130.3 juta), Lawas di Sarawak (RM138 juta), Hulu Terengganu (RM108.88 juta) dan Klang Utara di Selangor (RM159.3 juta).
“Bagi bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen pula, ada yang lama, iaitu di Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang. Ini semua dalam perancangan dan apabila kita pastikan cukup kewangan, kita akan beri keutamaan,” katanya.