
Singapura berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan penularan varian baharu Covid-19, B.1.1.529 yang dinamakan Omicron, yang berpotensi lebih cepat merebak.
Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura dalam kenyataan hari ini berkata, ketibaan VTL darat akan dikehendaki menjalani antigen rapid test (ART) di dua pintu kemasukan ditetapkan – Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands dan Terminal Queen Street.
“Ini akan berkuat kuasa 8 pagi esok (29 Nov), bermula dengan ketibaan pengembara VTL darat yang pertama di Singapura.”
Kementerian itu berkata, pengembara juga perlu terus membuat e-bayaran untuk ujian ART di pusat ujian.
“ART ketibaan akan membolehkan kami mengurangkan risiko penularan B.1.1.529 ke Singapura dan membolehkan kami memperluaskan VTL darat secara progresif dengan cara selamat dan ditentukur.”
Dalam pengumuman Rabu lalu, pengembara dari Malaysia ke Singapura perlu diuji negatif dalam Ujian Rapid Antigen (ART) atau Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam masa dua hari sebelum bertolak ke republik itu.
Kementerian itu mengingatkan semua pengembara supaya memastikan mereka menyediakan semua dokumen diperlukan sebelum menaiki bas VTL yang ditetapkan.
Maklumat lanjut VTL darat boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg/vtl-land/overview.