
Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang berkata, jumlah itu adalah 0.45% bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.
Daripada jumlah itu katanya, 93.3% penerima menghadapi kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di bahagian suntikan, demam, pening serta keletihan tetapi mereka pulih dalam tempoh beberapa hari.
“Hanya 1,549 laporan dikategorikan sebagai serius, iaitu 0.03% bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan, iaitu penerima dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan selama beberapa hari,” katanya di Dewan Rakyat.
Daripada jumlah kes serius itu, terdapat 535 laporan kematian, tetapi ia bukan disebabkan kesan secara langsung daripada suntikan vaksin, sebaliknya berpunca daripada penyakit lain berdasarkan hasil bedah siasat.
Sehingga kini katanya, tiada kematian berpunca daripada suntikan vaksin, termasuk penerima dos penggalak daripada jenama berlainan.
Beliau menjawab pertanyaan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) berhubung hasil pemantauan KKM ke atas penerima vaksin sejak PICK dilancarkan Februari lalu, sama ada terdapat kematian atau kesan negatif yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19.
Sivarasa turut menggesa KKM menjadikan India sebagai rujukan kerana berjuta-juta individu di enam negerinya, termasuk Goa, New Delhi dan Uttar Pradesh diberikan ubat Ivermectin pada peringkat awal jangkitan Covid-19 yang terbukti berkesan serta tiada kematian direkodkan.