
Malah sebelum wabak, kebun bandar disebut-sebut sebagai salah satu jalan penyelesaian yang berdaya maju untuk menjamin bekalan makanan dengan lebih baik buat negara.
Salah sebuahnya adalah Urban Hijau di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, yang diusahakan oleh Irfan Mohamed, Saqib Sheikh, Muneeb Yousuf dan Mohd Nazzer.
Mereka berharap dapat mendekatkan kebun dengan pengguna, sekali gus menjamin akses menyeluruh kepada makanan.
“Isu jaminan bekalan makanan terbukti tahun lepas semasa wabak, apabila sempadan ditutup semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan banyak makanan tidak dapat masuk ke Lembah Klang.
“Ketika itu, orang ramai mula menghubungi kami dan bertanya sama ada kami beri bantuan makanan kerana mereka tahu segelintir orang yang tidak dapat pun lihat sayur-sayuran dan buah-buahan segar selama tiga bulan,” kata Irfan kepada FMT.

Beliau berkata, mendekatkan pengeluaran makanan organik ke pusat bandar yang didiami ramai orang adalah penting untuk mengurangkan masa dan jarak dalam pengangkutan dan pengedaran makanan berkualiti.
Sehingga 30% hasil terbuang semasa dalam transit ke kedai dan pasar raya.
“Dengan mendekatkan makanan kepada orang ramai, kami memastikan kerugian yang minimum, lebih kesegaran dan kualiti,” kata Irfan.

Kebun itu menghasilkan tuaian bulanan antara 300kg hingga 400kg bagi semua jenis tanaman untuk pelanggan di sekitar kawasannya.
Urban Hijau turut memberikan bantuan makanan sekali atau dua kali seminggu, membekalkan hasil organik segar kepada golongan berpendapatan rendah.
Sayur-sayuran dituai pada waktu pagi dan dihantar ke bank makanan sebelum waktu makan tengah hari supaya golongan yang memerlukan dapat bekalan makanan segar.
Walaupun faedah pertanian bandar jelas, program-program berkaitnya tidak dilaksanakan dengan sempurna dan ramai masih tidak bersemangat untuk memulakan kebun mereka sendiri, katanya.
“Ada banyak ruang di Lembah Klang untuk memulakan pertanian, tetapi orang ramai tidak bersemangat untuk melakukan perubahan.
“Mereka tidak diberi kredit dan imbuhan yang sewajarnya, ilmu atau latihan untuk terus (bertani) di kawasan bandar,” katanya.
Bagaimanapun, wabak telah mencetuskan ilham buat kerajaan untuk mula mempertimbangkan usaha mendekatkan makanan kepada masyarakat.
“Kita perlu 1,000 kebun seluas satu ekar, bukan satu seluas 1,000 ekar. Jika kita mula ada 1,000 kebun seluas satu ekar, kita akan menangani sebahagian besar masalah jaminan bekalan makanan,” kata Irfan.
“Setiap kebun kemudiannya akan melatih orang lain yang akan memulakan kebun lain. Kita tidak lagi perlu bimbang tentang mengimport makanan, malah dapat menjadi pengeksport bersih makanan.”
Namun, tanggapan lazim bahawa kebun bandar memerlukan banyak tenaga kekal menjadi cabaran.

Bagi membuktikan tanggapan ini silap, Federica Agnese dan suami, Abdul Azim Che Abdul Rahim, dari Ampang, memulakan Kebun Kemensah di laman kediaman mereka sebagai eksperimen pada Januari.
Sudah lama mereka mahu memulakan operasi pengeluaran makanan tempatan yang mampan di kawasan bandar, kata mereka. Projek ini juga menjadi lapangan ujian bagi permintaan masyarakat tempatan buat hasil organik.
Kebun kecil mereka, seluas 900 meter persegi, menghasilkan tuaian bulanan tiga jenis sayur-sayuran sebanyak 40kg hingga 50kg.

“Ia memerlukan perhatian, tetapi tidak semestinya terlalu banyak, selagi anda ada sistem. Sebaik sahaja anda membangunkan sistem dan protokol, saya rasa agak mudah untuk memindahkannya kepada pekerja lain,” kata Federica.
Azim berkata, makanan di kebanyakan kebun komersial dihasilkan menggunakan bahan kimia dan racun perosak yang menurunkan kualiti tanah dari semasa ke semasa.
Pasangan itu kini berharap dengan meningkatnya kebimbangan mengenai kualiti makanan dan kemampanan, akan timbul minat komersial yang lebih besar dalam pertanian bandar.
“Saya rasa ada potensi besar. Pengguna boleh beli produk terus dari kebun dan mereka dapat lihat bagaimana makanan itu dihasilkan. Kami nampak lebih ramai yang menunjukkan minat padanya sejak PKP,” katanya.: