
Dalam jawapan bertulis bertarikh 15 Nov, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata Kabinet dalam mesyuarat pada 15 Jan tahun lalu memutuskan untuk tidak meneruskan program sarapan percuma.
Sebaliknya, beliau berkata, KPM akan meneruskan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah (PSS) bagi murid B40.
Sayap pemuda PSM itu berkata, kerajaan seharusnya tidak mendiskriminasi dari segi pendapatan keluarga dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Setiap murid harus diberi sarapan berkhasiat secara percuma supaya tidak berlaku perpecahan antara mereka yang mungkin mengakibatkan perasaan kecil hati antara murid dari keluarga berpendapatan rendah dan juga meningkatkan insiden pembulian atas isu ini.
“Hubungan silaturahim antara murid dari pelbagai jenis keluarga harus dipupuk melalui program ini, bukannya sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.
Pemuda Sosialis juga membidas tindakan kerajaan meluluskan pertukaran kereta rasmi kerajaan dan “mewujudkan jawatan bertaraf menteri”, dan pada masa sama menghentikan program bermanfaat kepada kanak-kanak sekolah.
“Apabila kerajaan hari ini dapat menukar kereta rasmi kerajaan dan melantik beberapa ahli politik dengan kerusi timbalan menteri dan posisi taraf menteri, tidak boleh kita ada justifikasi dari sudut fiskal untuk tidak melaksanakan program sarapan percuma ini kepada kanak-kanak kita,” katanya.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan era Pakatan Harapan antara pemimpin yang tegas membantah keputusan kerajaan itu.
Program sarapan percuma dilaksanakan pada sesi persekolahan 2020 oleh Maszlee untuk semua murid sekolah rendah tidak kira latar ekonomi.