
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar, berkata ramai yang liat membayar sewa maksimum RM150 itu sedangkan mereka berkemampuan berbuat demikian.
Katanya, PPR Paroi merekodkan tunggakan sewa RM1.38 juta manakala RM1.8 juta di PPR Lobak.
“Ada mempunyai tunggakan ribuan ringgit kerana anggap serta mempunyai mentaliti bila tinggal rumah kerajaan percuma sahaja dan tidak akan diambil tindakan.
“Tapi, mereka tahu pula kalau tak bayar (pinjaman) bank rumah kena sita dan lelong,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan pihak berkuasa tempatan terpaksa mengambil tindakan terhadap penyewa liat terbabit.
Tegasnya, tindakan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menanggalkan pintu kediaman penyewa PPR di Lobak baru-baru ini adalah langkah terakhir selepas pelbagai notis amaran diberikan kepada penghuni tidak dilayan.
“Sebelum itu kita buat cara berhemah dengan mula beri notis, potong bekalan air, elektrik dan sehinggalah kepada terpaksa buka pintu, bukan kita buat secara melulu, masa sudah diberi,” katanya.
Arul berkata, tindakan perlu diambil untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan membayar sewa memandangkan kos pengurusan dan penyelenggaraan PPR setiap tahun berjumlah RM3 juta hingga RM4 juta.
Beliau turut mendakwa, ada individu bertindak menyewakan rumah PPR kepada pihak ketiga dengan mengutip untung atas angin sekitar RM500 sebulan.
“Sedangkan mereka hanya bayar RM150 sebulan, kita beri amaran rampas balik rumah itu dan beri kepada golongan memerlukan,” katanya.