Penjimatan tamat tol percuma boleh naik bantuan STR, tambah baik kemudahan awam

Penjimatan tamat tol percuma boleh naik bantuan STR, tambah baik kemudahan awam

Kerajaan dianggarkan berbelanja lebih RM350 juta bawah Inisiatif Pengecualian Tol Musim Perayaan dilaksanakan empat tahun pada 2018, 2022, 2023 dan 2024.

sesak
Kerajaan mula memperkenalkan pengecualian tol percuma pada musim perayaan sejak 2018.
PETALING JAYA:
Penjimatan ratusan juta ringgit menerusi langkah menamatkan pengecualian tol pada musim perayaan dapat memberi ruang kepada kerajaan berbelanja bagi manfaat jangka panjang rakyat, kata ahli ekonomi.

Dua ahli ekonomi memberitahu FMT, penjimatan itu antaranya boleh disalur untuk menaikkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memperbaiki sistem pengangkutan awam dan keselesaan kemudahan awam jalan raya, selain meningkatkan produktiviti rakyat.

Menurut mereka, tindakan itu wajar diambil kerana dasar bebas tol sempena musim perayaan disifatkan tidak produktif untuk kemampanan perbelanjaan dan tidak dinikmati keseluruhan lapisan masyarakat.

Dianggarkan kerajaan berbelanja lebih RM350 juta bawah Inisiatif Pengecualian Tol Musim Perayaan diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.

Namun, pada tahun itu dan 2022, inisiatif tersebut terhad kepada perayaan Aidilfitri sebelum kerajaan perpaduan memperluaskan bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas pada 2023 serta 2024.

Pengecualian itu tidak dilaksanakan pada 2020 dan 2021 susulan sekatan perjalanan merentas daerah serta negeri bagi mengurangkan penularan Covid-19.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur berkata, bantuan bersasar lebih efektif selaras inisiatif rasionalisasi subsidi supaya ia sampai kepada golongan sasar.

Katanya, tidak semua rakyat menikmati pengecualian tol percuma pada musim perayaan kerana ada yang tidak ke mana-mana kerana khuatir dengan kesesakan sepanjang tempoh terbabit.

“Penamatan tol percuma perlu disalurkan kembali kepada rakyat melalui pemberian tunai bersasar kerana ia lebih efektif,” katanya kepada FMT, memberi contoh menaikkan jumlah STR atau perkenal baucar bahan bakar.

Kelmarin, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan akan menamatkan tol percuma musim perayaan dan menggantikan dengan pendekatan lebih bersasar.

Abu Sofian Yaacob.

Abu Sofian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan pula berpendapat, penjimatan itu boleh disalurkan untuk memberi akses pendidikan lebih baik sama ada dari segi bantuan persekolahan atau memperbaiki kemudahan awam.

Katanya, perbelanjaan kepada sektor kesihatan yang menyentuh setiap lapisan masyarakat juga boleh ditambah selain pelaburan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Ciri-ciri keselamatan penting untuk mengurangkan risiko kemalangan terutama membabitkan nyawa dan kecederaan parah khususnya pada waktu puncak atau musim perayaan,” katanya.

Namun, Abu Sofian berpendapat masih ada cara meneruskan diskaun tol semasa musim perayaan iaitu dengan atas inisiatif syarikat konsesi itu sendiri.

“Kerajaan boleh jimat kerana tak perlu gunakan duit sendiri,” katanya mencadangkan pengurangan cukai untuk syarikat konsesi yang memberi diskaun tol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.