
Tertuduh, Mohamad Zarir Mohamad Khozali, 41, mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan P Nagajothi di Pejabat JKM Kulim pada 15 Mac 2017.
Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zarir didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan Umi Kalsom Awang di Pejabat JKM Kulim pada 19 September 2016 .
Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan M Jothi pada 15 Mac 2017 di lokasi sama.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun berserta sebat dan denda.
Menurut laporan Harian Metro, pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.
Mohd Zulfadli meminta mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh merayu jaminan lebih rendah dikenakan berikutan anak guamnya akan digantung kerja dan bakal menerima bayaran separuh gaji saja.
Mohd Hakim turut mengemukakan alasan bahawa tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan empat anak serta ibu bapa berusia 68 dan 65 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.
Hakim menetapkan tarikh 16 Disember depan untuk proses sebut semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta seorang penjamin.