
Faiza Zulkifli yang memegang jawatan itu dari 2007 hingga 2013 berkata, salinan kontrak berkenaan tidak dirujuk kepadanya untuk disemak.
Menurutnya, Lim yang ketika itu menjadi Ketua Menteri, telah melantik firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill untuk mendraf dan melaksanakan kontrak itu.
“Saya akur dengan keputusan Ketua Menteri untuk melantik firma peguam swasta bagi perjanjian ini,” katanya, dengan menambah Ketua Menteri hendaklah menetapkan tanggungjawab kepada peguam swasta berkenaan untuk menjaga kepentingan kerajaan negeri.
Menurutnya, penasihat undang-undang negeri lazimnya diberikan salinan kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta, antara lain bagi memastikan kandungannya menepati undang-undang.
Katanya, tiada masalah jika peguam luar dilantik mewakili kerajaan negeri dalam tindakan sivil.
“Malah, kami melantik peguam untuk bertindak bagi pihak kami dalam kes tertentu. Namun ini kali pertama peguam dilantik bagi mendraf projek antara kerajaan negeri dan syarikat swasta,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin kemudian merujuk terma kontrak itu kepada Faiza dan menyoal sama ada beliau melihat sebarang kesilapan yang tidak wajar.
Saksi itu menjawab ada beberapa kesilapan ejaan selain butiran berhubung tanah kerajaan negeri yang akan dipindahkan kepada kontraktor terlibat sebagai bayaran bagi projek terowong berkenaan yang telah dikenal pasti secara salah dan boleh dianggap kesilapan besar.
Mahkamah sebelum ini dimaklumkan, dua lot tanah bernilai RM208.7 juta dipindahkan kepada syarikat berkaitan dengan Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd.
Sementara itu, Faiza berkata, beliau tidak pernah melihat memorandum persefahaman (MOU) kedua bertarikh 28 April 2011, antara Pulau Pinang dan syarikat pemegangan Zenith-BUCG, Beijing Urban Construction Group. Satu MOU sebelum itu dimeterai antara Pulau Pinang dan BUCG pada 17 Mac 2011.
“Saya hanya melihat MOU pertama. MOU kedua ditunjukkan kepada saya ketika siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tahun lalu,” katanya.
Beliau memberi keterangan terhadap Lim, yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta keuntungan 10% daripada Pengarah Consortium Zenith BUCG Zarul Ahmad Mohd Zulkifli menerusi projek terowong dasar laut, selain menerima suapan berjumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.
Lim turut berdepan dua lagi pertuduhan menyebabkan lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.
Perbicaraan di depan hakim Azura Alwi bersambung pada 29 Nov.