Tuan Ibrahim nafi laporan Washington Post mengenai dakwaan pelepasan karbon

Tuan Ibrahim nafi laporan Washington Post mengenai dakwaan pelepasan karbon

Laporan itu mengatakan Malaysia gagal melaporkan pelepasan sehingga 73%, dengan dakwaan keterlaluan mengenai penyerapan karbon.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia menafikan gagal melaporkan pelepasan gas rumah hijaunya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti yang didakwa dalam laporan oleh Washington Post.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man membidas laporan itu, dengan mengatakan bahawa “Malaysia menjalankan proses yang sangat ketat apabila menghasilkan Laporan Kemaskini Dwitahunan (BUR)”.

Artikel yang diterbitkan pada hari Ahad berkata BUR Malaysia yang dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada Disember 2020 mencadangkan bahawa hutan di Malaysia menyerap karbon empat kali lebih cepat daripada hutan serupa di negara jiran Indonesia.

Artikel Washington Post menyatakan bahawa “dakwaan mengejutkan” Malaysia telah membolehkan negara itu menolak lebih 243 juta tan karbon dioksida daripada inventori 2016 – sekali gus mengurangkan 73% pelepasan daripada dasar ditetapkan.

“Kami ingin menegaskan bahawa semua maklumat dan nilai yang dilaporkan dalam BUR menjalani pelbagai perbincangan dengan pemegang taruh yang melibatkan penyedia data, pakar, ahli akademik, NGO dan sektor swasta,” kata Tuan Ibrahim.

“Maklumat yang digunakan dalam membangunkan BUR adalah berdasarkan data kebangsaan dan saintifik yang diterbitkan dan dilaporkan secara telus.”

Beliau menambah bahawa Malaysia sejajar dengan keperluan UNFCCC yang menggesa penggunaan garis panduan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2006 untuk inventori gas rumah hijau negara (GHG) dalam menganggar dan melaporkan inventori GHGnya.

Selepas penyerahan BUR, UNFCCC akan mengumpulkan pasukan pakar teknikal untuk meneliti dan menganalisis laporan Malaysia dalam tempoh enam bulan selepas penyerahan – dengan laporan itu tertakluk kepada set penilaian lain di mana negara boleh mengemukakan soalan melalui portal UNFCCC.

Soalan-soalan ini perlu dijawab dalam masa sebulan.

“Keseluruhan proses adalah berdasarkan ketelusan, ketepatan, konsistensi…” kata Tuan Ibrahim.

“Oleh itu, Malaysia kesal dengan tindakan Washington Post mempersoalkan integriti proses dan hasil UNFCCC.”

Menteri itu kini berada di Glasgow, Scotland, untuk Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP-26), di mana Malaysia telah bersetuju untuk menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah serta Ikrar Metana Global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.