Bersatu kekal pendirian pengerusi PN mesti presiden parti, kata Tun Faisal

Bersatu kekal pendirian pengerusi PN mesti presiden parti, kata Tun Faisal

Tun Faisal Ismail Aziz berkata perbincangan dengan presiden parti komponen pada 16 dan 29 Jan juga masih dirujuk.

Tun Faisal Ismail Aziz ulas kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man yang Muhyiddin Yassin bersetuju tanpa syarat untuk parti berkenaan mengambil alih jawatan pengerusi PN dikosongkannya.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata partinya kekal dengan pendirian hanya menerima calon pengerusi Perikatan Nasional (PN) di kalangan presiden parti komponen.

Kenyataan itu menyusul selepas laporan Sinar Harian memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersetuju tanpa syarat untuk parti berkenaan mengambil alih jawatan pengerusi PN dikosongkannya, Disember lalu.

“Setakat semakan saya, pendirian Bersatu yang dibuat semasa Mesyuarat MPT Bersatu pada 12 Jan masih kekal, iaitu hanya menerima calon Pengerusi PN dalam kalangan presiden parti anggota. Itu belum berubah, begitu juga keputusan-keputusan lain.

“Setakat ini juga saya difahamkan hasil perbincangan dan permuafakatan daripada pertemuan dua presiden pada 16 Jan dan pre-council presiden parti-parti anggota PN pada 29 Jan masih dirujuk,” kata Tun Faisal.

Tuan Ibrahim mendakwa perkara itu sudah dipersetujui dalam siri perbincangan kepimpinan tertinggi parti bersama Muhyiddin dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN dijangka hujung bulan ini.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, PAS belum mengumumkan calon pengerusi baharu sebagai tanda hormat kepada Muhyiddin selagi proses peletakan jawatan terbabit belum muktamad secara rasmi iaitu disahkan MT PN.

Beliau turut dilaporkan berkata perlembagaan PN tidak pernah menyatakan pengerusi wajib dilantik di kalangan presiden parti-parti komponen.

Jawatan pengerusi PN kosong sejak 1 Jan lalu susulan peletakkan jawatan Muhyiddin dan ia sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat MT PN dipanggil pada 29 Jan lalu.

Namun mesyuarat itu dibatalkan sebaliknya Muhyiddin mengundang ketua parti komponen utama gabungan itu iaitu PAS, MIPP dan Gerakan pada hari sama.

Bagaimanapun, Presiden PAS Hadi Awang tidak muncul dalam pertemuan itu.

Sebelum pertemuan itu, tular satu surat yang didakwa dihantar Muhyiddin kepada presiden komponen PN antaranya ada persetujuan dari PAS dan Bersatu untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menafikan perkara itu yang sekali gus menimbulkan polemik baharu.

Selain Hadi dan Tuan Ibrahim, nama Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Moktar dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor turut disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin.

Bagaimanapun, Hadi menolak untuk dicalonkan atas faktor kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.