
Setelah hampir dua tahun berdepan pelbagai sekatan bagi mengekang penularan Covid-19, usaha memulihkan industri pelancongan negara giat direncanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Langkah ini selari dengan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang merekodkan lebih 90% populasi dewasa negara lengkap divaksinasi.
Seiring dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang dirangka oleh MOTAC, Tourism Malaysia melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan melibatkan produk-produk pelancongan di seluruh negara bagi merancakkan kembali pelancongan domestik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, setakat ini sebanyak 457 pakej dibangunkan dengan harga pakej serendah RM120 seorang dan tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2022.

Tawaran menarik itu bukan sahaja terhad kepada pakej penginapan, malah penjawat awam dan pesara kerajaan juga boleh menikmati tawaran diskaun berbaloi bagi harga tiket sehingga 30%.
Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Putrajaya, i-City Shah Alam, Genting Highland, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Mulu, Royal Belum, Kilim Geoforest Park, Danum Valley, Wakaf Che Yeh, Taman Tamadun Islam, dan banyak lagi.
Nancy berkata, pihaknya menyasarkan pelancaran pakej kali ini dapat menarik seramai mungkin penjawat awam untuk melancong di dalam negara termasuk 1.2 juta ahli CUEPACS dan 700,000 pesara kerajaan.
“Inisiatif Pakej Cuti Penjawat dan Pesara Kerajaan ini diharap dapat menyemarakkan kembali pelancongan domestik sekali gus membantu pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan ekoran pandemik Covid-19,” katanya dalam majlis pelancaran pakej itu di Hotel Perdana baru-baru ini.

Ujarnya, pakej tersebut merupakan kesinambungan kepada Pakej Istimewa Penjawat Awam yang dilancarkan pada 3 September 2020 dengan memfokuskan kepada produk-produk di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke negeri Sabah.
Pakej ini diwujudkan hasil kerjasama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh didapati di laman web Tourism Malaysia di https://deals.malaysia.travel/deals.
Potensi Kampung Laut sebagai nadi pelancongan Kelantan
Dalam perkembangan berlainan, Nancy turut menyaksikan majlis penyerahan Laman Warisan Kampung Laut oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada kementeriannya di Kampung Laut, Tumpat.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

Projek pembangunan itu menyediakan ruang niaga untuk sembilan usahawan tempatan kampung tersebut yang menjual makanan istimewa seperti serunding, dodol dan kuih gelembung buaya.
Nancy menyifatkan Laman Warisan Kampung Laut dan Masjid Kampung Laut di Tumpat berpotensi diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).