34 individu ditahan tawar khidmat pelacuran

34 individu ditahan tawar khidmat pelacuran

Hasil risikan mendapati premis hotel bajet terbabit dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan kerana harga ditawarkan agak tinggi.

Polis berkata semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan. (Gambar Facebook Imigresen Malaysia)
PETALING JAYA:
Polis menahan 34 warga asing yang disyaki terlibat dalam khidmat pelacuran dan pelayan pelanggan (GRO) di beberapa premis di kawasan Puchong, Kuchai Lama dan ibu kota, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata operasi pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing.

Beliau berkata hasil risikan mendapati premis berkenaan dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan kerana harga ditawarkan agak tinggi.

“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara dalam talian terlebih dahulu melalui aplikasi Wechat dan Telegram.

“Hasil pemeriksaan di premis itu, 17 warga asing terdiri daripada tujuh wanita warga Thailand, empat wanita warga Indonesia dan tiga wanita masing-masing warga Myanmar, Laos dan Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti pelacuran,” katanya, menurut laporan Bernama.

Selain itu, turut ditahan tiga lelaki warga Myanmar yang juga pekerja dan penjaga premis.

Khairul Dzaimee berkata operasi kedua dijalankan di sebuah pusat hiburan di Puchong, yang dikawal oleh ‘tonto’ sebagai pemberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan itu bagi menggagalkan sebarang usaha serbuan daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis ini, imigresen menahan 16 wanita warga Vietnam disyaki bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki warga India yang juga pekerja di premis itu.

Khairul Dzaimee berkata siasatan awal mendapati premis ini menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.