
Serbuan oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur itu dilakukan ke atas spa tiga tingkat yang terletak di dalam sebuah bangunan di Bukit Bintang kira-kira 4.45 petang, lapor Bernama.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata dalam serbuan itu seramai 15 wanita warga asing ditahan yang terdiri daripada enam warga Indonesia, lima warga Vietnam dan dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang wanita Mongolia dan China.
Katanya, lima lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan turut ditahan. Semua individu yang ditahan itu berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun.
“Premis ini dipercayai menawarkan pakej seks dan urutan badan atau perkhidmatan seks sahaja dengan anggaran harga kira-kira RM250 sehingga RM450, bergantung kepada warganegara pelayan seks terbabit,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Wan Saupee berkata dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi, mengupah atau menggaji pendatang tanpa izin.
Katanya, semua warga asing termasuk lelaki dipercayai pekerja atau pelanggan premis ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, sebanyak tujuh notis saman kepada saksi dikeluarkan kepada pelanggan dan pekerja bagi hadir membantu siasatan di Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.