
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya mendapati kadar bayaran bagi mendapatkan khidmat tidak bermoral itu berbeza mengikut lokasi dengan bayaran serendah RM120.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah berbeza mengikut tempat, antara RM120 hingga RM140 bagi 30 minit dan RM155 hingga RM250 bagi tempoh sejam,” katanya menurut Bernama.
Katanya, serbuan dilakukan 8 malam di sekitar Sri Petaling, Cheras, Jalan Kuchai Lama, dan Danau Kota itu, sambil menyatakan lima lelaki tempatan dipercayai penjaga premis turut diberkas.
Warga asing yang ditahan terdiri wanita warga Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Laos berumur 24 hingga 35 tahun, manakala penjaga premis ditahan berusia 20 hingga 61 tahun.
Rusdi berkata, aktiviti pelacuran di hotel terbabit dikesan aktif sejak tiga bulan lalu, dijalankan melalui kaedah ‘walk-in’ dan tempahan dibuat secara dalam talian, dan selepas selepas tempahan, pelanggan akan diberikan lokasi hotel sebelum dibawa penjaga premis bertugas ke bilik pelacur.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.