Imigresen serbu hotel 3 bintang jadi pusat pelacuran

Imigresen serbu hotel 3 bintang jadi pusat pelacuran

Pelanggan boleh memilih wanita melalui WhatsApp atau terus ke hotel di Jalan Ipoh itu.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata hotel yang disyaki dijadikan pusat pelacuran warga asing itu mengenakan bayaran RM250 hingga RM400 sejam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 58 individu ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan ke atas sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh, dekat sini dan sebuah pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan yang dijadikan pusat kegiatan pelacuran serta hiburan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata 37 warga asing berusia 19 hingga 61 tahun ditahan dalam serbuan pertama di hotel tiga bintang itu Jumaat lalu.

Mereka terdiri daripada dua lelaki Myanmar, masing-masing seorang lelaki India dan Indonesia, 17 wanita Indonesia, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam dan seorang wanita dari Laos yang sebahagiannya menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta tiada dokumen perjalanan sah.

Zakaria berkata, hotel itu disyaki dijadikan pusat pelacuran warga asing sejak setahun lalu, dengan pelanggan dibenarkan memilih wanita melalui aplikasi WhatsApp atau terus ke hotel pada kadar RM250 hingga RM400 sejam.

Katanya, 12 wanita asing itu disyaki melakukan kesalahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan 24 lagi disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 serta seorang lelaki Indonesia disiasat bawah Seksyen 15(4) akta sama.

“Tujuh lelaki tempatan turut diberi notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan,” katanya menurut Berita Harian.

Serbuan kedua di Nilai semalam pula menyaksikan 21 wanita Myanmar berusia 25 hingga 40 tahun ditahan, termasuk seorang penjaga premis dan 20 gadis pelayan.

Zakaria berkata, lapan daripadanya tinggal lebih masa dan 13 lagi tiada dokumen perjalanan sah.

Katanya, seorang daripadanya disiasat bawah Seksyen 56(1)(d) dan 6(3) Akta Imigresen dan baki 20 lagi disiasat mengikut Seksyen 6(3) serta 15(4) akta sama.

Menurutnya, premis hiburan itu hanya beroperasi dari Jumaat hingga Ahad, khusus untuk warga Myanmar.

“Pelanggan diwajibkan membeli minuman keras untuk masuk, sebelum ditawarkan gadis pelayan dengan caj RM150 hingga RM200 seorang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.