Tubuh inkuiri jika ada kecuaian pentadbiran UPNM, desak Pemuda PEJUANG

Tubuh inkuiri jika ada kecuaian pentadbiran UPNM, desak Pemuda PEJUANG

Gesaan itu dibuat susulan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM atas dakwaan menyebabkan kematian Zulfarhan.

Punca yang menyumbang kepada kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu disiasat melalui inkuiri sekiranya ada kecuaian di pihak UPNM, kata Pemuda PEJUANG. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menjalankan inkuiri terhadap Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengenal pasti punca yang menyumbang kepada kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu, desak Pemuda PEJUANG.

Naib Ketua Pemuda PEJUANG Nik Fathurahman Nik Rasli membuat gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhi hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM atas dakwaan menyebabkan kematian Zulfarhan.

“Walaupun keputusan mahkamah ini disambut baik PEJUANG Muda, kami ingin mendesak agar satu inkuiri diadakan bagi mengenal pasti punca bagaimana tindakan keji pelajar-pelajar ini tidak berjaya dihalang atau disedari oleh pihak Universiti lebih awal sehingga menyebabkan kematian.

“Perkara ini penting bagi meningkatkan tahap keselamatan para pelajar serta menghalang insiden sama berlaku pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Nik Fathurahman berkata, inkuiri terbabit perlu menjurus kepada siasatan peranan pihak keselamatan atau warden asrama universiti, termasuk mengenal pasti sama ada berlakunya kecuaian di pihak pentadbiran universiti bagi menjamin keselamatan pelajarnya.

Katanya, Zulfarhan meninggal dunia selepas 10 hari menderita keseorangan di bilik asrama akibat didera tanpa disedari pihak universiti.

“Situasi menakutkan yang terpaksa dihadapi Allahyarham dalam menghadapi seksaan dan penderaan ekstrem daripada pelaku sehingga membawa kepada kematiannya amat menyedihkan serta menyayat hati. Rakyat seluruhnya berasa amat dukacita dan marah pada masa yang sama,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM atas dakwaan menyebabkan kematian Zulfarhan, empat tahun lalu.

Hakim perbicaraan Azman Abdullah memutuskan hukuman berkenaan selepas mendengar hujahan peguam mereka dan keterangan impak mangsa daripada keluarga Zulfarhan.

Azman turut menjatuhi hukuman tiga tahun penjara terhadap 12 lagi penuntut UPNM, yang didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.