Warden Penjara Taiping akui ‘hilang kawalan’ lepas banduan hambur ugutan kesat

Warden Penjara Taiping akui ‘hilang kawalan’ lepas banduan hambur ugutan kesat

Saiful Azman dakwa banduan guna kata kesat termasuk mahu merogol isteri warden.

Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki mengetuai panel menyiasat dakwaan kira-kira 60 warden menyerang lebih 100 banduan di Penjara Taiping, pada 17 Jan.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai penjara Taiping mengakui memukul beberapa banduan beberapa kali ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari lalu, dengan menyatakan tindakan itu berlaku ‘spontan’ dan akibat tekanan susulan menerima provokasi lisan.

Saiful Azman, 43, berpangkat sarjan, dalam prosiding inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memberitahu beliau diarah masuk Dewan B untuk mengawal keadaan, beliau terpaksa menggunakan belantan terhadap beberapa banduan — termasuk selepas mereka duduk dengan tangan di atas kepala tanda menyerah diri.

Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki yang mengetuai panel menyiasat dakwaan kira-kira 60 warden menyerang lebih 100 banduan di Penjara Taiping, pada 17 Jan lalu.

Suhakam menyiasat dakwaan penderaan yang dipercayai mengakibatkan kematian seorang banduan, manakala beberapa lagi cedera.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan Saiful memukul beberapa banduan berkali-kali dengan belantan, termasuk selepas mereka berhenti meneruskan sebarang bentuk penentangan.

Ketika disoal, Saiful mengakui bertindak keterlaluan dan menyatakan tidak dapat menjelaskan pukulan berulang kali itu, sambil menambah bahawa ia tindakan pertama kali dalam tempoh 21 tahun perkhidmatannya menggunakan belantan terhadap banduan.

“Saya bertindak spontan. Ketika itu saya tidak tenang,” katanya sambil menambah keadaan menjadi tegang selepas banduan menghamburkan kata kesat dan mengeluarkan ugutan bunuh.

“Seorang daripada tahanan kata dia mahu merogol isteri kami,” katanya.

“Isteri warden-warden?” soal Farah.

“Ya”, balas Saiful.

Saiful berkata, ancaman sedemikian cukup mengesankan membawa dirinya hilang kawalan.

Beliau merujuk kepada Peraturan 5.2.2 dalam garis panduan dalaman Penjara Taiping, yang menurutnya membenarkan penggunaan kekerasan bagi ‘melemahkan’, tetapi tidak mencederakan banduan. Namun, peraturan tersebut tidak didokumenkan secara umum dan bukan sebahagian Akta Penjara.

Ketika disoal Hishamudin sama ada memukul banduan yang sedang duduk berulang kali merupakan pelanggaran terhadap peraturan itu, Saiful menjawab beliau tidak menyasarkan ‘bahagian sensitif’ dan tidak pasti sama ada tindakannya itu secara teknikal melanggar peraturan berkenaan.

Namun, beliau mengakui tindakannya tidak selaras SOP dan berkemungkinan besar menyumbang peningkatan ketegangan dalam dewan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.