Inkuiri Suhakam: Rakaman CCTV sangkal dakwaan warden

Inkuiri Suhakam: Rakaman CCTV sangkal dakwaan warden

Warden itu dakwa beredar dari dewan di mana banduan dikumpul dan kerana ketakutan dilihat mengangkat tangan dan meludah ke arah banduan.

penjara taiping
Suhakam menyiasat dakwaan penderaan di Penjara Taiping yang dipercayai mengakibatkan seorang terbunuh, manakala beberapa lagi cedera. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang warden Penjara Taiping dirakam menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) meludah ke arah seorang banduan, menafikan dakwaan awal beliau melarikan diri dari sebuah dewan bagi mengelak diserang.

Dalam prosiding inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan penderaan lebih 100 banduan oleh 60 warden awal tahun ini, pengerusinya Hishamudin Yunus, mempersoalkan versi kejadian dikemukakan Ahmad Rizal Razan.

Sebelum ini, Rizal dalam laporan polis menyatakan beliau lari dari Dewan B kerana bimbang akan keselamatannya, pada 16 Jan.

Banduan berkenaan berkumpul di dewan tersebut kerana mereka ingin dipindahkan ke penjara lain.

Namun, Hishamudin berkata berdasarkan rakaman CCTV, Rizal tidak tergesa-gesa meninggalkan dewan itu.

“Malah, anda mengangkat tangan sebanyak dua kali dan meludah (ke arah banduan),” kata Hishamudin sebelum menunjukkan rakaman tersebut kepada Rizal.

Namun, Rizal menafikan perbuatan meludah ke arah banduan, sebaliknya mendakwa hanya bercakap dengan mereka dalam nada ‘agresif’.

“Saya beremosi. Siapa yang tidak? Saya tidak ingat apa yang berlaku dan saya juga belum menonton rakaman itu,” kata Rizal.

Hishamudin kemudian merujuk laporan polis dibuatnya, di mana beliau mendakwa melarikan diri dari dewan tersebut kerana banduan ‘bangun dan cuba menyerangnya’.

Hishamudin: Jadi, ini tidak benar?

Rizal: “Itu benar. Saya telah ditolak, kemudian saya segera keluar dari dewan.”

Hishamudin berkata, apa dizahirkan Rizal bahawa dirinya ditolak tidak disebut dalam laporan.

Dalam pada itu, Rizal, yang bertanggungjawab memeriksa banduan, juga mendakwa beliau secara konsisten diprovokasi banduan berkenaan.

Menurutnya, banduan tersebut mengancam akan membunuhnya.

“Sepanjang 11 tahun (bertugas), saya tidak pernah diugut dibunuh. Emosi saya terganggu dan terpaksa meninggalkan dewan tersebut untuk menenangkan diri,” katanya pada prosiding itu.

Suhakam melalui inkuiri berkenaan sedang menyiasat dakwaan penderaan, yang dipercayai mengakibatkan kematian seorang banduan dan mencederakan beberapa yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.