
Hairie Jumri, yang ditunjukkan dalam rakaman CCTV berulang kali memukul banduan dalam satu insiden pada 17 Jan mendakwa, emosinya tidak stabil ketika itu, namun menegaskan tindakannya masih dianggap sebagai ‘kekerasan minimum’.
Katanya, dia dan rakan-rakan setugasnya bertindak sedemikian selepas banduan menghamburkan kata kesat dan mengugut mencederakan ahli keluarga mereka.
Apabila disoal sama ada pukulan berulang kali masih boleh dianggap sebagai kekerasan minimum, Hairie berkata, istilah tersebut ‘subjektif’.
Pegawai inkuiri Suhakam Simon Karunagaram kemudiannya meminta pembantu penguat kuasa penjara itu untuk mentakrifkan kekerasan minimum.
Simon: Boleh tuan definisikan kekerasan minimum?
Hairie: Tak mati.
Simon: Andai kata saya tumbuk mata tuan lebam, dua tiga hari tak nampak, selepas itu (pandangan) kabur … itu (dikira) kekerasan minimum?
Hairie: Ya
Simon: Dalam gambar (daripada rakaman CCTV), ada kepala (banduan) cedera nampak darah, adakah itu kekerasan minimum?
Hairie: Boleh jadi … boleh jadi dia langgar tiang. Darah itu (juga) boleh dapat daripada orang lain yang terhantuk kepala di tiang.
Hairie juga tidak bersetuju bahawa kekerasan berlebihan digunakan ke atas salah seorang banduan yang maut dalam insiden tersebut.
Ketika ditanya oleh Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus mengapa dia menendang seorang banduan yang sudah kelihatan lemah, Hairie mengakui emosinya ‘tidak stabil’ ketika itu.
Hishamudin: Andainya kamu stabil dan waras, kamu tidak akan berbuat demikian?
Hairie: Ya
Hishamudin: Jadi perbuatan itu perbuatan orang yang tak waras?
Hairie: Ya.
Inkuiri berhubung dakwaan kira-kira 60 warden menyerang lebih 100 banduan dalam insiden 17 Jan itu dijadualkan bersambung pada 6 Ogos.