Menjelang Deepavali, Brickfields kembali meriah dengan pengunjung

Menjelang Deepavali, Brickfields kembali meriah dengan pengunjung

Pengunjung dikatakan mula keluar membeli-belah di kawasan dikenali sebagai 'Little India' itu sejak dua minggu lalu untuk membuat persiapan Deepavali.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran harga menarik, terdiri daripada pelbagai barangan termasuk pakaian, perhiasan, barangan sembahyang serta manisan.
KUALA LUMPUR:
Suasana di Brickfields kembali meriah dengan kehadiran pengunjung yang membuat persiapan menjelangnya Deepavali tidak lama lagi.

Sejak dua minggu lalu, kawasan yang lebih dikenali sebagai “Little India” itu terus menjadi tumpuan orang ramai yang teruja untuk menyambut perayaan itu buat kali pertamanya tanpa perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas ia ditamatkan bulan lalu.

Pengunjung kelihatan berpusu-pusu dari satu kedai ke satu kedai yang lain untuk mendapatkan tawaran harga menarik, terdiri daripada pelbagai barangan termasuk pakaian, perhiasan, barangan sembahyang serta manisan.

Pada masa yang sama beberapa anggota polis dan Rela turut ditempatkan di kawasan sekitar untuk mengawal kesesakan lalu lintas.

Sahil Kumar mempunyai tiga buah gerai di Brickfields yang menjual pelbagai jenis manisan India. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Malah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang sempat meluangkan masa melawat kawasan itu semalam, turut teruja melihat kemeriahan dan kehadiran pengunjung yang begitu bersemangat melakukan persiapan.

Aktiviti perniagaan yang semakin rancak menyebabkan sebahagian besar peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan.

Antara manisan India yang dijual di kedai Sahil di Brickfields. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)
Beberapa manisan sempena perayaan Deepavali yang boleh didapati di gerai Sahil di Brickfields. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

“Saya begitu sibuk apabila pengunjung tidak putus-putus berkunjung ke sini sepanjang Ahad. Kami (pekerja) tidak sempat langsung untuk makan,” kata Sahil, 23, yang mempunyai tiga gerai menjual pelbagai makanan tradisi India di Brickfields.

“Keadaan agak mencabar sejak tahun lalu akibat pandemik Covid-19, namun kini kami melihat orang ramai mula kembali (ke kedai).”

Sahil sedang melayan pelanggan di kedainya di Brickfields. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Kedai Mangala Theebam Pattu Mahligai juga mendapat sambutan menggalakkan menerusi dua cawangan berhampiran yang menjual pelbagai jenis pakaian tradisional, kelengkapan rumah dan barangan sembahyang India.

Christalann, seorang pekerja di Mangala Theebam Pattu Mahligai, yang menjual pakaian tradisional India di sebuah cawangan dan juga kelengkapan rumah serta barangan sembahyang di sebuah lagi cawangan di seberang jalan di Brickfields. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

“Pengunjung datang sehingga 12.30 tengah malam Jumaat dan Sabtu. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung menjelang Deepavali,” kata salah seorang pekerja, Christalann.

Christalann bersama beberapa produk yang sering mendapat permintaan di kedainya. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

“Tahun lalu jualan agak teruk namun keadaan makin baik tahun ini.”

Christalann menunjukkan kain sari kepada pelanggan. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Menurutnya, dia menjangkakan perniagaan akan kembali pulih seperti sediakala, iaitu sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Christalann berkata, masalah bekalan mungkin menyebabkan pelanggan sukar mendapatkan rekaan produk terbaru dari India.

Penjual bunga Rajeswary Subramaniam mula berniaga sejak 13 tahun lalu. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Sementara itu, penjual bunga, Rajeswary Subramaniam pula berkata, dia tidak berdepan masalah itu dan berharap dapat meningkatkan lagi jualannya dalam tempoh sehari dua ini.

Rajeswary menyusun kalung bunga untuk dijual di kedainya di Brickfields. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT)

Rajeswary yang menjalankan perniagaan itu sejak 13 tahun lalu berkata, kali ini pengunjung lebih bersemangat memandangkan mereka tidak dapat menyambut Deepavali seperti biasa tahun lalu.

“Saya melihat ramai pengunjung datang membeli-belah di sini. Tahun lalu, orang ramai tidak dapat menyambutnya kerana pandemik dan kali ini saya berharap perniagaan akan kembali rancak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.