
Aroma kek yang sedang dibakar dan kari yang sedang dimasak di dapur, bercampur dengan bayu laut yang masin. Jiran-jiran membawa dulang kuih, singgah untuk berkongsi makanan, cerita dan tawa, sementara kanak-kanak berlari keluar masuk dari pintu rumah dan alunan lagu Krismas kedengaran perlahan di udara.
Di sini, Krismas bukan sekadar hari cuti – ia adalah satu perasaan, terjalin dalam jiwa lorong ini… suatu ketika dahulu.
“Apabila kami memandang keluar tingkap, kami dapat melihat jiran-jiran saling berkunjung. Kedengaran gelak tawa dan keriangan, orang menyanyi dan menikmati masa bersama,” kenang bekas penduduk, Martin Theseira, 69, yang menetap di Praya Lane selama lima dekad.

Helen Tee pula mengingati lorong itu yang sentiasa dipenuhi kegembiraan. “Krismas disambut dengan sangat meriah. Semua orang gembira sambil minum, berbual dan ketawa bersama,” kata wanita berusia 68 tahun itu, yang masih tinggal di Praya Lane, kepada FMT Lifestyle.
Namun, semangat kebersamaan itu bukan hanya terhad pada Krismas. Masyarakat Serani Portugis, Cina, India dan Melayu hidup berjiran, dengan kehidupan seharian yang saling berkait.
Sikap pemurah dan kejiranan yang akrab menjadi ciri kehidupan di sini. Kaum wanita akan membungkus gula, beras, telur dan keperluan asas lain untuk mereka yang membuat persiapan Krismas, Hari Raya, Deepavali atau Tahun Baharu Cina.

Apabila tiba pula giliran perayaan mereka sendiri, kebaikan itu dibalas – satu irama pemberian yang senyap tetapi berterusan, mengikat komuniti sepanjang tahun.
Di tengah lorong ini terletak Gereja Assumption, yang dibina oleh Portugis pada abad ke-19. Di sebaliknya, sehingga tahun 1990-an, terbentang laut tempat kanak-kanak bermain tanpa alas kaki dan nelayan membawa pulang bot mereka.
“Perkataan ‘praya’ bermaksud pantai dalam bahasa Kristang,” jelas Theseira. Namun Praya Lane lebih daripada sekadar nama – ia menggambarkan siapa mereka, sebuah komuniti unik yang dibentuk oleh laut dan oleh satu sama lain.
Semangat itu paling jelas terserlah pada 1975, apabila hakisan laut mengancam tanah tempat gereja itu didirikan dan penduduk bersatu membina sebuah tembok.
“Ia dinamakan Tembok Persahabatan kerana seluruh komuniti terlibat. Masyarakat Cina turut membantu, ada yang menyumbang wang dan barangan. Penganut Katolik India juga datang menghulurkan tenaga,” kata Theseira.

“Nelayan Melayu, penarik beca dan peniaga kecil yang tinggal bersama kami turut membantu, membancuh simen dan menyusun batu. Ia benar-benar usaha komuniti dan antara kenangan terbaik dalam hidup saya.”
Dengan caranya yang sederhana, Praya Lane melambangkan nilai yang kini sering dirindukan oleh ramai rakyat Malaysia – jiran yang saling menjaga, dan perbezaan yang tidak memecah-belahkan.
Ia juga tempat sempadan budaya menjadi kabur: Theseira mengingati jiran Cina yang fasih bertutur dalam bahasa Kristang.

Kehidupan di Praya Lane bergerak dalam irama yang lembut. Pintu hadapan jarang berkunci. Keluarga akan berkumpul di rumah jiran untuk menonton filem P Ramlee bersama-sama, dengan tawa mereka kedengaran hingga ke jalan.
Rumah keluarga Tan, satu-satunya yang mempunyai telefon, menjadi titik perhubungan, tempat jiran singgah untuk membuat panggilan dan berbual lebih lama.
Penduduk menunggu penjaja troli yang menjual char kuey teow dan mee rebus. Manisan di Ice Café setiap Sabtu menjadi kegemaran. Kanak-kanak menjadikan lorong itu taman permainan mereka – bermain gasing, layang-layang dan mengayuh basikal kecil.
Dan sentiasa ada laut di pinggir lorong. “Kenangan terbaik saya tentang Praya Lane ialah bermain di laut,” kenang Christian Bernard De Mello, 45, anak saudara Theseira.
Dilahirkan di sebuah rumah di lorong itu, dia mengingati tarikan ombak dan masa yang tidak berkesudahan di pesisir pantai.
Namun, perubahan berlaku pada1970-an apabila projek penambakan tanah mengubah garis pantai. “Nelayan kehilangan mata pencarian. Penduduk lain, terutamanya wanita Nyonya yang membuat belacan dan cencalok juga kehilangan sumber pendapatan,” kata Theseira.
Keluarga yang tinggal di situ beransur-ansur berpindah dan generasi muda meninggalkan lorong itu untuk peluang yang lebih baik. Rumah-rumah menjadi kosong dan lorong itu semakin sunyi.

Namun begitu, Theseira percaya semangat Praya Lane masih kekal.
Hari ini, Persatuan Seni & Budaya Warisan Serani Portugis Melaka, yang diterajui Theseira, telah menukar rumah No. 6, Praya Lane menjadi sebuah pusat komuniti. Dan setiap Disember, lorong itu kembali hidup apabila Gereja Assumption menganjurkan sesi nyanyian lagu Krismas.
Apabila bekas penduduk berkumpul dengan mereka yang masih menetap di situ, alunan melodi yang dikenali bergema di lorong, mudah untuk membayangkan bagaimana Krismas pernah diraikan di sini.
Praya Lane mengingatkan kita bahawa semangat sebenar musim perayaan, seperti sisi terbaik masa lalu Malaysia, tidak terletak pada kemegahan, tetapi pada sikap sederhana untuk bersama-sama.