Larangan produk sentuh sensitiviti kaum, agama masih di peringkat perincian, kata Nanta

Larangan produk sentuh sensitiviti kaum, agama masih di peringkat perincian, kata Nanta

KPDNHEP akan membuat pengumuman selepas mesyuarat Kabinet seterusnya.

SEPANG:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi mengakui Kabinet membincangkan mengenai larangan pengeluaran produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa, namun ia masih di peringkat perincian.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pengumuman selepas mesyuarat Kabinet seterusnya agar keputusan yang dibuat mengambil kira sensitiviti semua kaum dan agama di negara ini.

“Sesi libat urus bukan hanya kepada satu agama tetapi kepada semua. Ada perkara yang mungkin sensitif kepada orang Dayak, ada yang sensitif kepada orang Tionghoa.

“Kalau kita nak buat, biarlah buat menyeluruh. Ini memerlukan kita teliti (secara menyeluruh) perkara itu supaya peraturan lebih adil. Kami tidak tergesa-gesa,” katanya kepada media selepas melancarkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 bawah paras harga RM10 seunit dan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 di Gateway @ klia2, Sepang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, Sabtu lalu, bahawa Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa selepas kontroversi jenama wiski buatan tempatan, Timah.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS memaklumkan perkara itu kepada perwakilan PAS ketika merasmikan mesyuarat tahunan sayap Pemuda parti itu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Jemaah Menteri sudah buat keputusan tidak boleh lagi mana-mana pengeluaran yang apa saja produk yang boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa atau agama,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini syarikat pengeluar arak jenama Timah, Winepark Corporation (M) Sdn Bhd yang membuat permohonan selama seminggu untuk menukar nama dan imej pada label produk arak, beliau berkata, syarikat berkenaan masih berbincang dengan pemegang saham mereka memandangkan tempoh seminggu masih belum berakhir.

“Kita belum keluarkan kenyataan lagi sebab selepas libat urus dengan syarikat berkaitan, kita bagi mereka peluang satu minggu dan satu minggu itu belum tiba masanya untuk kita dapat maklum balas daripada mereka,” katanya.

Minggu lalu syarikat di Kepong, Selangor itu membuat permohonan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.