Karnival Mega ‘Desaku Mendunia’ tingkat daya saing produk luar bandar

Karnival Mega ‘Desaku Mendunia’ tingkat daya saing produk luar bandar

Lebih 1,000 usahawan dijangka menyertai karnival pada 30 Julai hingga 3 Ogos.

karnival mega 3 dimensi
Karnival Mega 3 Dimensi 2025 akan berlangsung pada 30 Julai hingga 3 Ogos 2025 di Mitec, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D) bertemakan ‘Desaku Mendunia’ bakal meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, acara berskala besar menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) Hari Peneroka Felda dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) diyakini menawarkan peluang pasaran baharu yang lebih besar.

“Kita akan menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD) bersempena MK3D pada 30 Julai hingga 3 Ogos 2025 di Mitec, Kuala Lumpur.

“Lebih 1,000 usahawan bakal menyertai MK3D 2025 yang menjanjikan peningkatan pendapatan yang signifikan,” katanya dalam kenyataan.

KKDW berkata, karnival lima hari itu bakal menjadi platform mempromosi dan medium bagi mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar terus kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

Katanya, selain itu institusi pembiayaan akan dibawa menyertai MK3D 2025 untuk meningkatkan akses kepada peluang perniagaan bagi membantu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan usahawan.

“Terdapat juga syarikat yang bakal menawarkan padanan perniagaan bagi meningkatkan keupayaan usahawan untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran,” katanya.

Menurutnya, lebih 100 aktiviti pengisian kepada pengunjung selain konsert kemuncak bakal mempersembahkan artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Adira Suhaimi, Khai Bahar, Akim & Majistret yang dibawakan secara percuma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.