
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, anggotanya dari Balai Polis Sungai Nibong pada awalnya menyangka tiga beranak itu adalah nelayan, namun hasil soal siasat mendapati mereka menjadi gelandangan sejak dua bulan lalu.
Katanya, tiga beranak itu ditemui di bawah jambatan ketika pihaknya menyiasat laporan kes pada 20 Okt lalu.
“Lelaki berkenaan mengakui menjadikan kawasan jambatan itu sebagai tempat berteduh dan tidak mampu menyewa tempat tinggal. Nasib malang itu bermula selepas rumahnya terbakar tahun lalu, sebelum terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya dipetik Harian Metro.
Simpati dengan nasib mereka, Soffian berkata, anggotanya segera membawa mereka ke Balai Polis Sungai Nibong untuk ditempatkan di sebuah unit rumah kosong berhampiran.
“Mereka tinggal di situ selama dua hari, sebelum ditempatkan di rumah teduhan Anjung Singgah, Lebuh Chulia. Perkara ini adalah biasa bagi semua dan kita perlu saling membantu, terutama golongan yang tidak bernasib baik.”
Mohd Effendee Md Yusoff, 42, bersama dua anaknya, Muhammad Alif Maulana, 10, dan Muhammad Arif Maulana, 11, tinggal di Jelutong sebelum rumah mereka terbakar pada 2020.
“Dua bulan lalu, saya ambil keputusan pulang ke Pulau Pinang dan kerana tidak mampu menyewa rumah, kami jadikan bawah jambatan sebagai rumah,”
Difahamkan, Effendee kini bekerja sebagai nelayan dengan menangkap ikan di sekitar Batu Uban, George Town.