Saya yang sokong kerajaan pun tak boleh terima, Ahmad Maslan gesa kaji semula SOP PRN Melaka

Saya yang sokong kerajaan pun tak boleh terima, Ahmad Maslan gesa kaji semula SOP PRN Melaka

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan menggesa kerajaan menyemak semula larangan tersebut dengan memberi beberapa kelonggaran untuk berkempen.

Ahmad berkata, alasan Kementerian Kesihatan bahawa larangan itu bagi menghalang penularan varian Delta bertentangan dengan fakta kementerian itu yang menyebut mereka yang divaksin jarang dijangkiti. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemimpin Umno tidak bersetuju dengan larangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, pengumuman yang dibuat kementerian itu secara tidak langsung menggambarkan semua aktiviti berkaitan pilihan raya di Melaka tidak dibenarkan.

“Varian Delta dijadikan alasan SOP PRN Melaka dan kita tahu SOP di Melaka yang agak kita tidak boleh terima.

“Saya sendiri sebagai anggota menyokong kerajaan tidak boleh diterima apa yang disebut ‘sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan’. Jadi, tanggapan itu terlalu luas.

“Kalau baca ayat itu juga bermaksud ‘sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan berkuat kuasa hari ini hingga 27 Nov’. Kita nak buat pilihan raya tapi sebarang aktiviti pilihan raya tak boleh dibuat,” katanya yang juga Setiausaha Agung Umno di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata, alasan KKM kononnya larangan itu bagi menghalang penularan varian Delta bertentangan dengan apa yang dimuat naik di laman web kementerian itu bahawa mereka yang divaksin jarang dijangkiti.

“Saya baca di web KKM apa disebut tentang varian Delta di mana jangkitan varian Delta dalam kalangan individu divaksin jarang berlaku dan jika dijangkiti tidak akan mengalami gejala teruk dan mungkin tak perlu ke hospital. Itu dalam web KKM tapi ia dijadikan alasan tak boleh lakukan aktiviti ketika PRN di Melaka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula larangan tersebut dengan memberi beberapa kelonggaran untuk berkempen.

“Saya harap ia disemak semula oleh kerajaan supaya ada perkara dibolehkan seperti (kempen) rumah ke rumah, ceramah kecil-kecilan, misalnya pertemuan kecil sepatutnya boleh diberikan,” katanya.

Semalam, KKM tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, larangan yang akan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.