
Kementerian itu berkata, sehingga kini tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia, namun langkah pencegahan dipertingkatkan berikutan risiko importasi kes melalui perjalanan antarabangsa.
“Sehingga 16 Mei, WHO melaporkan sebanyak lapan kes disahkan makmal, 246 kes disyaki, dan 80 kematian disyaki telah dilaporkan di Wilayah Ituri, DRC.
“Selain itu, sebanyak dua kes disahkan makmal termasuk satu kematian turut dilaporkan di Kampala, Uganda melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari DRC,” katanya dalam kenyataan.
KKM berkata pihaknya kini memantau pengembara yang memasuki Malaysia dari Uganda dan DRC termasuk mereka yang transit di hab antarabangsa seperti Dubai, Doha dan Singapura.
Menurut kementerian itu, tiada penerbangan terus dari kedua-dua negara berkenaan ke Malaysia ketika ini.
“Pemantauan dan saringan terus diperkukuh bagi tujuan penilaian risiko kesihatan awam serta pelaksanaan langkah pencegahan awal,” katanya.
KKM turut menjelaskan Ebola ialah penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut dan menular melalui kontak rapat dengan darah atau cecair badan individu atau haiwan yang dijangkiti.
Antara gejala penyakit itu termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit dan dalam sesetengah kes, pendarahan.
Kementerian itu berkata, beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan termasuk memperkukuh survelan di semua pintu masuk antarabangsa, meningkatkan pengesanan awal kes serta kesiapsiagaan fasiliti kesihatan untuk pengasingan dan pengurusan kes disyaki.
Selain itu, ia turut memastikan kesiapsiagaan alat perlindungan diri (PPE), memperkasa kapasiti diagnostik makmal melalui kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan serta memperkukuh koordinasi bersama WHO dan agensi berkaitan.
Orang ramai yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terlibat dinasihatkan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi KKM dan WHO serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya.