Guru kimia dari Ipoh menang ‘The Global Teacher Award’

Guru kimia dari Ipoh menang ‘The Global Teacher Award’

V Komathy menewaskan 321 calon dari Malaysia dan kira-kira 26,000 peserta dari negara lain.

V Komathty menunjukkan modul mata pelajaran kimia yang membolehkannya merangkul anugerah antarabangsa ‘The Global Teacher Award 2021’. (Gambar Bernama)
IPOH:
Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh, di sini, meraih anugerah antarabangsa “The Global Teacher Award 2021”.

V Komathy, 38, yang berkhidmat selama 14 tahun, menerima pengiktirafan itu pada majlis maya menerusi Facebook dan YouTube rasmi AKS Education Awards hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu terkejut apabila dimaklumkan penganjur mengenai kemenangan itu menerusi e-mel pada 29 Sept lalu.

“Saya masih tidak boleh percaya dipilih sebagai pemenang daripada 321 calon dari Malaysia dan kira-kira 26,000 penyertaan dari negara lain.

“Daripada jumlah itu, 500 orang disenarai pendek, termasuk enam calon Malaysia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Komathy yang pernah dianugerahkan Guru Cemerlang Kimia, merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah kedoktoran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama.

Beliau menghasilkan beberapa produk inovasi untuk mencungkil minat pelajar dalam subjek kimia hingga dikenali di peringkat antarabangsa.

Antara produk inovasinya ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0, iaitu produk pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) Kimia berupa modul bimbingan berbentuk kad permainan dan direka bentuk bagi meningkatkan tahap penguasaan pelajar terhadap penulisan formula molekul, struktur, penamaan bagi sebatian alkana, alkena, alkuna, alkohol, asid karboksilik serta ester.

Beliau turut mencipta produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah “Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable Environment” bagi mengembangkan karbon aktif biomas daripada tiga sisa pertanian, iaitu serabut tebu, sekam kelapa dan kulit pisang untuk menghilangkan pewarna beracun daripada air tercemar.

“Kimia memang subjek kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan, oleh itu perlu mendidik dengan cara menghiburkan untuk menarik minat pelajar supaya tidak mudah putus asa mempelajari subjek ini.”

Katanya, anugerah yang diterimanya sebelum ini dan The Global Teacher Award 2021 hari ini akan dijadikan motivasi untuk mendidik serta melahirkan anak bangsa lebih maju.

Beliau juga akan terus mengorak langkah dalam usaha mencipta pelbagai pembaharuan menerusi subjek Kimia.

Komathy memulakan kerjaya sebagai guru di SMK Methodist Girls School Ipoh pada 2007 selama enam tahun, sebelum bertukar ke SMK Buntong dan dipindahkan ke SMK Ave Maria Convent Ipoh Februari lalu.

Beliau menghasilkan beberapa karya ilmiah dan pernah membawa pelajar SMK Buntong mewakili negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam pelbagai acara akademik.

Komathy berkata, anak muridnya menjadi inspirasinya untuk berusaha ke arah kecemerlangan bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.