Nasib pusat perlindungan haiwan Pak Mie belum bernoktah

Nasib pusat perlindungan haiwan Pak Mie belum bernoktah

Pusat terbabit yang kini dijaga anak Pak Mie berdepan tindakan pengusiran manakala laluan masuk ke situ juga telah ditutup.

Pusat perlindungan haiwan itu dibuka oleh Muhamad Azmi Ismail di rumahnya sekitar tahun 90-an.
PETALING JAYA:
Isu pusat perlindungan haiwan jagaan Muhamad Azmi Ismail atau Pak Mie belum pun menemui titik noktah dan kini timbul pula masalah lain.

Ini kerana pusat terbabit dikatakan berdepan tindakan pengusiran manakala laluan masuk ke situ juga telah ditutup.

Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat percubaan untuk memindahkan haiwan jagaannya yang sekali gus mendapat bantahan penduduk.

Pusat perlindungan haiwan itu dibuka oleh Muhamad Azmi Ismail di rumahnya sekitar tahun 90-an.

Dia kemudian menemui tapak rizab berhampiran sungai di sepanjang Sungai Kedah dan memutuskan untuk mendapatkannya.

Selepas membelanjakan lebih RM100,000 untuk menambak tanah di kawasan itu, dia akhirnya membina sebuah pusat perlindungan yang terdiri daripada 11 kabin pada tahun 2013.

Tidak lama kemudian, dia dan isteri sering diganggu pihak berkuasa sehingga pasangan itu meninggal dunia.

Kini anak mereka, Badirol Hisham dan Roslida, mengambil alih tanggungjawab itu namun tetap berdepan masalah sama.

Pusat perlindungan itu, yang menempatkan lebih 300 anjing dan kucing kini sukar dilawati penderma disebabkan laluan kenderaan ke lokasi itu ditutup.

Awal tahun ini, pihak berkuasa memaklumkan kepada Badirol dan Roslida bahawa mereka perlu memindahkan pusat terbabit ke tapak seluas 4.4 hektar untuk memberi laluan kepada projek utiliti.

Bagaimanapun, dua kali percubaan untuk memindahkannya gagal selepas penduduk membuat bantahan.

Badirol, seorang pesara Rejimen Renjer Diraja berkata, kerajaan Kedah memberitahunya pada Mac lalu bahawa pusat perlindungan itu boleh dipindahkan ke Pendang namun sehingga kini masih belum ada kata putus.

Katanya, kadangkala dia dan adiknya terpaksa berjalan hampir satu kilometer untuk membawa berkilo-kilo makanan anjing dan kucing.

Pusat perlindungan itu bertahan menerusi dana dan makanan yang disumbangkan orang ramai.

Sekurang-kurangnya RM10,000 diperlukan setiap bulan untuk menanggung kos makanan, perubatan dan diesel untuk menghidupkan dua penjana elektrik.

“Setiap kali kerajaan negeri menawarkan kami sebidang tanah, ada orang membantahnya,” Badirol memberitahu FMT.

“Ini adalah mentaliti penduduk di Kedah apabila ia berkaitan dengan anjing. Apabila terdengar ada ladang babi ingin diwujudkan di kawasan berhampiran, anda tidak mendengar banyak rungutan.

“Isu sebenarnya sebab saya orang Melayu dan saya menjaga anjing. Jika saya daripada bangsa lain, ia tidak akan ada masalah.

“Sekarang, saya mengerti apa yang orang tua saya lalui.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.