‘Saya tawarkan tempat tinggal, dan dia menangis’

‘Saya tawarkan tempat tinggal, dan dia menangis’

Pengasas NGO Tony Lian bantu lelaki gelandangan yang diserang dan dimalukan di depan sebuah bank.

Tony Lian Safiudween
Tony Lian bersama Safiudween di luar pusat perlindungan yang dikendalikan oleh pengasas NGO itu. (Gambar Tony Lian)
PETALING JAYA:
Apabila Tony Lian, pengasas NGO yang membantu golongan miskin, terlihat sebuah video memaparkan seorang lelaki gelandangan diserang dan dimalukan di luar sebuah bank, hatinya luluh.

Lian sangat terkejut melihat bagaimana lelaki tersebut dilayan dengan hina, tanpa perikemanusiaan.

“Kita tak boleh layan seorang insan sebegitu. Di manakah rasa belas kasihan (kita)? Dia perlu dilayan dengan bermaruah,” kata Lian, yang mengendalikan Food4U, NGO yang memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan dan miskin setiap minggu.

Pesara berusia 70an itu, yang mesra disapa sebagai ‘Uncle Tony’, tahu beliau perlu bertindak.

Lian, yang turut menguruskan dua rumah perlindungan kecil untuk gelandangan, mula mencari lelaki itu di deretan kedai sekitar Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau memeriksa setiap sudut sehinggalah tiba di sebuah lagi bank, kira-kira 600m dari lokasi di mana lelaki itu disepak dan disimbah air.

Di situlah beliau menemui lelaki berusia lewat 30an itu terbaring, emosinya sangat terganggu.

“Saya tawarkan dia tempat tinggal dan dia terus menangis,” kata Lian.

Lian berkata, lelaki tersebut, yang hanya dikenali sebagai Safiudween, baru-baru ini kehilangan pekerjaan sebagai pelayan, dan kini tiada tempat berteduh.

“Dia ulang-ulang, ‘Saya lapar, saya penat, saya tak ada rumah’,” katanya.

Di pusat perlindungan gelandangan, Lian memberitahu bahawa Safiudween telah diberikan pakaian baharu dan makanan.

“Apabila dia melihat katil baharunya, dia sangat gembira,” katanya.

Video yang memaparkan Safiudween disimbah air dan disepak mengundang kemarahan pengguna media sosial.

Dalam video yang kini tular, Safiudween yang sedang tidur di kaki lima berhampiran sebuah bank dilihat disembur air oleh seorang pengawal keselamatan.

Seorang lagi lelaki kemudian dilihat menendangnya, membuang barang-barangnya dan menyimbahnya dengan air

AmBank kemudiannya memohon maaf atas insiden tersebut, menyatakan bahawa mereka ‘amat prihatin dan dukacita’ kerana tiada siapa yang patut dilayan sedemikian.

Bank itu menjelaskan pengawal dalam video itu kakitangan penyedia perkhidmatan keselamatan luaran yang dilantik oleh bank, manakala lelaki kedua dipercayai seorang tukang kasut yang tidak berpuas hati dengan mangsa.

Bagaimanapun, tambahnya, semua kakitangan bank, termasuk vendor dan rakan kongsi dikehendaki menunjukkan kelakuan profesional tertinggi.

Menurut Lian, sebaik sahaja Safiudween kembali pulih dan stabil, beliau akan membantunya mencarikan pekerjaan untuk lelaki itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.