
Air Selangor dalam kenyataan di Facebook berkata, wilayah Petaling dan Gombak telah mencapai tahap pemulihan sepenuhnya.
“Ini menjadikan jumlah wilayah yang pulih sepenuhnya adalah enam. Sebelum itu, empat daripadanya adalah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam dan Kuala Selangor,” kata kenyataan itu.
Dua lagi wilayah iaitu Kuala Lumpur dan Klang, masing-masing mencatatkan pemulihan sebanyak 95.5% dan 89.4%.
Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.
Pengguna yang ingin mengetahui status pemulihan kawasan terjejas boleh melayari laman sesawang hentitugas.airselangor.com.
Sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berjadual, dijangka selama empat hari bermula Rabu lalu.
Tujuh wilayah itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).