Hanya 4 pemaju mampu ‘bina dulu jual kemudian’, kata menteri

Hanya 4 pemaju mampu ‘bina dulu jual kemudian’, kata menteri

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican berkata Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Akta 118) sedang ditambah baik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican berkata, kaedah bina dahulu jual kemudian dikenal pasti sebagai medium terbaik dalam menyelesaikan projek perumahan terbengkalai ketika ini.
KUALA LUMPUR:
Hanya empat pemaju hartanah mampu menggunakan kaedah bina dahulu jual kemudian, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican.

Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang), Reezal berkata, kaedah berkenaan dikenal pasti sebagai medium terbaik dalam menyelesaikan projek perumahan terbengkalai ketika ini.

“Bagaimanapun hanya empat pemaju mampu bina dahulu jual kemudian kerana kedudukan kewangan mereka yang kukuh,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu beliau berkata, kementerian sedang menambah baik Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Akta 118) untuk melindungi hak pembeli.

Sementara itu Reezal berkata, sebanyak 79 projek perumahan swasta di Semenanjung meliputi 17,724 unit rumah didapati terbengkalai dan melibatkan 11,824 pembeli setakat 30 Sept.

“Sebanyak 38 projek, iaitu 11,511 unit rumah yang melibatkan 6,319 pembeli sedang dalam peringkat perancangan bagi mengenal pasti kaedah dan mekanisme untuk memulihkan projek tersebut melalui penyelesaian yang dipersetujui bersama oleh pemaju penyelamat dan pembeli.

“Sebanyak 26 projek, iaitu 3,383 rumah yang melibatkan 2,806 pembeli dalam peringkat statik dan sedang dalam penyelesaian isu perundangan; dan sebanyak 15 projek, iaitu 2,830 rumah melibatkan 2,699 pembeli dalam peringkat sedang dipulihkan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang mahu tahu jumlah keseluruhan projek perumahan terbengkalai mengikut pecahan negeri sehingga 2021 dan apakah punca sebenar ia berlaku serta penyelesaian kementerian terhadap perkara itu.

Selangor merekodkan kes tertinggi projek rumah terbengkalai dengan 33 kes, diikuti Kelantan (12), Johor (sembilan), Pahang (enam), Terengganu (enam), Perak (lima), Negeri Sembilan (empat), Kedah (dua), Kuala Lumpur (satu) dan Melaka (satu).

Katanya, nilai pembangunan kasar projek rumah terbengkalai dianggarkan sebanyak RM5.57 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.