Suspek edar dadah maut dalam serbuan: Siasatan menyeluruh, telus, kata polis

Suspek edar dadah maut dalam serbuan: Siasatan menyeluruh, telus, kata polis

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya menerima laporan daripada anak saudara suspek, mengatakan anggotanya menggunakan kekerasan terhadap si mati.

Lelaki terbabit dikatakan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dan cuba mencapai sebilah sabit, tetapi anggota polis berjaya menggarinya.
PETALING JAYA:
Siasatan menyeluruh dan telus dilakukan susulan dakwaan polis menggunakan kekerasan terhadap seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang meninggal dunia ketika serbuan di sebuah rumah flat di Taman Dato Senu, Sentul 5 Okt lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, polis menerima laporan daripada anak saudara suspek pada 6 Okt, mengatakan anggotanya menggunakan kekerasan terhadap si mati semasa melakukan tangkapan.

“Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap laporan ini. Mayat suspek (si mati) dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Azmi berkata, laporan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau turut memaklumkan, dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis Methamphetamine dan heroin daripada suspek.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03 21460584/585 atau balai polis berhampiran.

Dalam kejadian 5 petang itu, anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyerbu satu unit rumah di Blok 209, selepas menerima maklumat awam mengenai pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, lelaki itu bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dan cuba mencapai sebilah sabit, tetapi anggota polis berjaya menggarinya.

Tidak lama selepas itu katanya, suspek pengsan dan pegawai perubatan yang tiba 10 minit kemudian mengesahkan kematiannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.