
Hannah Yeoh (PH-Segambut) bangkit mempersoalkan tindakan Zailah tidak menjawab soalan wakil pembangkang.
Katanya, tindakan timbalan menteri itu “membaca” kenyataan bertulis tidak membawa sebarang makna.
“Tak boleh tanya soalan, jawapan bertulis semua tak ada makna. (Kementerian) tak menjawab soalan Ahli Parlimen, kalau semua datang baca skrip, siapa pun boleh jadi menteri.
“Kena jawab soalan Ahli Parlimen, baru perbahasan ada makna. Soalan tambahan ini tidak boleh dilihat sebagai serangan,” katanya di Dewan Rakyat.
Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) berkata, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon mempunyai kuasa membuat ketetapan supaya timbalan menteri menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen.
“Speaker boleh tambah masa untuk timbalan menteri menjawab.”
Rasa tidak puas hati itu berlarutan sehingga giliran Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin memulakan penggulungan.
Rashid berkata, waktu Zailah berucap sudah tamat dan tiba giliran Zahidi berucap.
Namun, kekecohan bermula apabila wakil pembangkang mahu penjelasan Zailah berhubung isu warga emas.
Terdahulu, Zailah beberapa kali memberi ruang kepada wakil pembangkang untuk mencelah dan bertanya soalan, tetapi beliau kemudiannya tidak membenarkannya apabila berulang kali diganggu menyebabkan beliau tidak cukup masa untuk menjawab soalan wakil rakyat lain.
“Banyak lagi saya nak jawab, masa saya sudah nak habis, bagi ruang saya jawab, yang mana tidak sempat saya mohon beri jawapan secara bertulis,” katanya.