7 pemimpin PN layak urus ekonomi negara, kata Yadzil

7 pemimpin PN layak urus ekonomi negara, kata Yadzil

Pengerusi Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Azmin Ali antara disenaraikan PN sebagai pemimpin berkeupayaan mengurus ekonomi negara.

Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Hamzah Zainudin dan Radzi Jidin antara pemimpin PN dikatakan layak mengurus ekonomi negara.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Melaka Mohd Yadzil Yaakub menegaskan Perikatan Nasional mempunyai barisan kepimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi negara, sambil menyenaraikan tujuh tokoh utama disifatkan layak.

Pemimpin tersebut adalah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang terlibat langsung menggubal pakej rangsangan ekonomi ketika krisis Covid-19 dan Setiausaha Agung Azmin Ali yang juga bekas menteri ekonomi serta berperanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Selain itu, beberapa pemimpin lain juga terlibat dalam perkara berkait ekonomi seperti Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin (pentadbiran dan korporat), Naib Presiden Radzi Jidin (analisis dasar dan perancangan modal insan) serta Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (perundangan ekonomi dan dasar fiskal).

Turut disenaraikan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh (ekonomi dan perbankan Islam) serta Ahli Parlimen Kuala Nerus Alias Razak (perancangan pembangunan dan bajet).

Senarai itu dikongsi kepada FMT menyusuli sokongan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang menegaskan keperluan PN menampilkan pemimpin benar-benar berkeupayaan mengurus ekonomi bagi meyakinkan rakyat.

Terhahulu, Saifuddin berkata keperluan gabungan itu mengemukakan pemimpin berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16 adalah perlu susulan tempoh Parlimen kini genap tiga tahun.

Katanya, ada perkiraan yang PRU mungkin berlangsung hujung 2026 memandangkan negara mempunyai sejarah mengadakan pilihan raya sebelum tempoh lima tahun genap.

Mengulas lanjut, Yadzil menyifatkan kenyataan Saifuddin sebagai peringatan penting bahawa mana-mana gabungan politik yang bercita-cita mentadbir negara perlu menampilkan kepimpinan dengan rekod, kebolehan dan kefahaman ekonomi yang jelas, bukan sekadar populariti atau retorik politik.

Adun Bemban itu turut mengingatkan, di Melaka sendiri ketiadaan pelan transformasi ekonomi yang jelas, kebergantungan kepada pendekatan lama serta kelemahan tadbir urus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri semasa.

“Saya ingin menegaskan rakyat sedang menilai siapa yang benar-benar bersedia memimpin, bukan siapa yang paling lantang bercakap. Keupayaan mengurus ekonomi, mengawal kos sara hidup dan merancang masa depan negara adalah ujian sebenar kepimpinan.

“Justeru, saya menyambut baik seruan ini dan berharap ia menjadi dorongan kepada semua pihak dalam PN untuk menampilkan kepimpinan yang kompeten, berwibawa dan berorientasikan penyelesaian, demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.