
Zahid berkata, Anwar terpaksa menguruskan pelbagai tuntutan daripada rakan gabungan, malah daripada partinya sendiri, memandangkan kerajaan perpaduan pimpinannya dianggotai pelbagai pakatan.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Anwar menerima tekanan daripada pemimpin partinya sendiri semasa pemukiman PKR.
“Dalam PKR, mereka tuduh perdana menteri (PM) tunduk kepada Umno, (sedangkan) kita tak pernah minta (beliau) tunduk. Bayangkan Umno ada 26 kerusi, dengan Barisan Nasional (BN), kita ada 30, tetapi kita hanya ada lapan menteri. PKR ada berapa (menteri), DAP ada berapa (dibandingkan dengan jumlah kerusi mereka).
“Jadi saya nak maklumkan, PM cukup sayang kepada kita Umno ni. DNA beliau Umno. (Tetapi) takkanlah kita anggap semua yang kita minta akan ditunaikan. (Beliau) dah cuba penuhi permintaan kita dgn pembahagian (peruntukan) ditentukan,” kata Zahid dalam ucapan penutupan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia.
Umno mempunyai tujuh menteri, dan satu daripada rakan komponen BN, PBRS. Sementara itu, PKR yang mempunyai 31 Ahli Parlimen mempunyai sembilan menteri manakala DAP hanya mempunyai lima menteri walaupun memegang 40 kerusi Parlimen.