
Beliau turut menjelaskan tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKPSM) dikeluarkan untuk lombong atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal.
“Secara umumnya, sebelum memulakan aktiviti perlombongan di kawasan hutan, syarikat perlu memohon kebenaran Lesen Cari Gali, ‘Prospecting Licence’ (PL) atau Lesen Menjelajah, ‘Exploration Licence’ (EL), bagi tujuan kerja cari gali atau eksplorasi mineral daripada pihak berkuasa negeri (PBN), kemudian disusuli dengan kelulusan pajakan melombong.
“Selanjutnya, syarikat perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Negeri untuk mendapatkan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).
“Pada masa ini, tiada SKSPM akan dikeluarkan untuk lombong di atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Perlindungan serta kawasan yang diwartakan sebagai kawasan sensitif alam yang lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Wong Chen (PKR-Subang) yang mencadangkan supaya aktiviti perlombongan di kawasan hutan tidak dibenarkan.
Mengulas usaha menangani isu pembalakan haram, Takiyuddin berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perhutanan Negeri sentiasa memantau aktiviti pembalakan di Hutan Simpanan Kekal, antara lain melalui pengawalan terhadap pembukaan kawasan usahasil melalui pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan Majlis Tanah Negara (MTN) bagi setiap Rancangan Malaysia.
“Selain itu, kerajaan melaksanakan pensijilan Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I) bagi negeri yang terbabit dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak, yang menjadi kayu pengukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Lestari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan juga melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan,” katanya.