
Bercakap pada sidang media, Azam berkata laporan disediakan Jabatan Forensik agensi itu diserahkan kepada pegawai penyiasat kes, sekitar seminggu lalu.
Azam berkata, pegawai penyiasat sudah diarah menyoal siasat semua individu berkaitan dengan video tersebut bagi menentusahkan kandungan, yang menurutnya penting sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.
“Arahan saya adalah pegawai penyiasat perlu memanggil semula semua mereka yang dikatakan terbabit sama ada dalam video itu, yang memegang video itu dan sebagainya untuk dirakam percakapan bagi menentusahkan isu atau kandungan dalam video berkenaan,” katanya.
Beliau menambah, apabila semua kenyataan dikumpul, timbalan pendakwa raya boleh menyemak siasatan dari setiap sudut.
Azam enggan mengulas lanjut apabila ditanya keaslian video dikatakan itu.
Tahun lalu, dilaporkan dakwaan skandal perlombongan susulan siri pendedahan video terkait beberapa Adun Sabah dibocorkan.
Video berkenaan memaparkan perbincangan melibatkan rasuah dan salah laku berkaitan projek penerokaan mineral di Sabah.
Pada Februari, Azam berkata paparan video pada peringkat pertama ia didedahkan tidak mempunyai kredibiliti kerana ia banyak disunting.