
Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata pertuduhan terhadap mereka akan dibuat bulan ini dan pihaknya sedang mendapatkan tarikh daripada Mahkamah Rasuah Sabah.
Katanya, ketika ini SPRM dalam proses tangkapan dan pemakluman kepada suspek untuk menetapkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.
“Saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak Adun dan seorang awam yang sedang dalam proses untuk kita jalankan tangkapan dan memaklumkan tarikh kehadiran mereka ke mahkamah.
“Saya tidak akan memaklumkan tarikhnya sehingga proses ini selesai dan saya yakin mereka akan didakwa di mahkamah pada bulan ini,” katanya menurut Sinar Harian di Kota Kinabalu.
Mengulas ketulenan video melibatkan dakwaan beberapa Adun terlibat skandal rasuah, Azam berkata siasatan tidak sepenuhnya bergantung kepada bukti video tersebut.
“Perkara itu saya tidak boleh ulas lanjut kerana ia boleh menjadi subjudis. Sudah tentu bukti akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk dinilai dan dibawa ke mahkamah sekiranya perlu.
“Namun, kami tidak hanya bergantung kepada bukti itu semata-mata, sama ada ia tulen atau tidak, tetapi juga perlu mengambil kira bukti-bukti lain.”