Kerajaan negeri majoriti tipis ada risiko ikut jejak Melaka, kata MB Johor

Kerajaan negeri majoriti tipis ada risiko ikut jejak Melaka, kata MB Johor

Hasni Mohammad berkata Johor boleh mengalami nasib sama seperti di Melaka, namun situasi kini tidak menjurus ke arah itu.

Johor adalah negeri bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Negeri yang mempunyai kerajaan majoriti tipis termasuk di Johor, berdepan risiko dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kesan daripada pergolakan politik, kata Menteri Besar Hasni Mohammad.

Beliau tidak menolak ia boleh berlaku di negeri itu, namun sehingga kini tiada keadaan yang boleh membawa Johor ke arah situasi berkenaan.

“Ia boleh berlaku di mana-mana negeri yang mempunyai majoriti tipis, termasuk Johor.

“Saya tidak menolak atau tidak mendakwa keadaan itu tidak boleh berlaku. Ia juga boleh berlaku di Johor atau mana-mana negeri. Setakat ini tiada cerita yang boleh membawa Johor kepada keadaan demikian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut situasi semasa membabitkan kerajaan Melaka, beliau berkata, ia perlu melalui proses keabsahan kepimpinan kerajaan negeri yang dibuat dalam DUN.

“Kalau hari ini ada empat yang memutuskan untuk keluar atau menarik sokongan, maka ia perlu disahkan dalam DUN.

“Sekiranya DUN membuat keputusan untuk pembubaran, ia terpulang kepada kerajaan pusat untuk bersetuju atau tidak pilihan raya diadakan kerana selepas tiga tahun kerajaan yang sedia ada tidak perlu mengadakan pilihan raya,” katanya.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali.

Tiga ADUN terbabit adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Untuk rekod, Johor adalah negeri bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Umno Johor menerajui kepimpinan negeri dengan 14 kerusi diikuti Bersatu (12), MIC (dua) dan PAS (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.