PKR tiada tempat untuk yang suka merengek, berleter, kata Anwar

PKR tiada tempat untuk yang suka merengek, berleter, kata Anwar

Presiden Anwar Ibrahim berkata parti itu memerlukan mereka yang mahu perkuatkan PKR dan jalankan amanah rakyat.

Anwar Ibrahim di Konvensyen PKR Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar (dua dari kiri), bernama pic 7226
Anwar Ibrahim di Konvensyen PKR Selangor yang turut dihadiri Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar (dua dari kiri), Naib Presiden Amirudin Shari (dua dari kanan) dan R Ramanan (kanan) serta Setiausaha Agung Fuziah Salleh (kiri). (Gambar Bernama)
AMPANG JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan parti itu tidak mempunyai ruang untuk mereka yang ‘suka merengek dan berleter’.

Berucap pada Konvensyen PKR Selangor, Anwar berkata mereka memerlukan pemimpin komited memperkukuhkan kedudukan parti itu yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Menurutnya, ini kerana sokongan rakyat bukan mandat kosong atau untuk dibanggakan dengan memegang jawatan sebaliknya amanah besar untuk bekerja.

“Sanggup bekerja kekal, tak mahu kerja keluar…mesti berani begitu.

“Tumpu dan bantu kuatkan parti ‘stay’ (kekal). Berleter dan merengek tak habis-habis boleh keluar.

“Kerja kita masih banyak, letih dengar. Bukan beri pandangan membina,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak 2022 berkata pentadbirannya mengambil tindakan serius setiap hari terhadap isu besar terutama berkait rasuah dan penyelewengan.

Tegasnya, sudah tiba masanya semua pihak bangkit menyokong usaha membersihkan negara daripada rompakan dan rasuah, meskipun menyedari tindakan itu berdepan risiko besar.

“Yang ditangkap itu orang berpengaruh, panglima tentera, menteri, mantan menteri, pengurus besar, tan sri. Apa saya peduli. Yang saya peduli mandat rakyat,” katanya.

Atas dasar itu, beliau mengingatkan ahli supaya fokus kepada perjuangan parti iaitu membela nasib rakyat dan menyelamatkan negara.

Anwar turut menggesa seluruh jentera PKR di Selangor supaya bangkit sebagai satu angkatan dan menghidupkan semula semangat perjuangan di semua peringkat parti.

“Kita jaga Melayu, Cina, India, Orang Asli, hak rakyat Selangor dan hak rakyat Malaysia.

“Inilah landasan perubahan yang kita mahu bawa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.