
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, beberapa laporan polis dibuat terhadap Borhanuddin di seluruh negara setelah kenyataannya yang merujuk kepada pemain itu tular di laman sosial sejak kelmarin.
Katanya, polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan juga akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin bercakap mengenai perkauman. Isu perkauman ini banyak berlaku, termasuk kes ini.
“Kadangkala seseorang terlalu mengikut emosi hingga mengeluarkan kenyataan yang tidak elok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Turut hadir Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bangunan IPK baharu bernilai RM104 juta setinggi sembilan tingkat itu dibina di tapak seluas dua hektar di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun, dan dijangka siap hujung 2024.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, di peringkat parti tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Borhanuddin setelah beliau meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat.
“Borhanuddin sudah minta maaf dan letak jawatan…jadi saya nasihatkan kepada yang lain supaya jangan melakukan perkara seperti ini. Salah tetap salah…saya rasa dia dah faham. Kita tidak suka (pada kenyataan perkauman) tetapi ia telah pun terjadi,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, Hamzah berkata: “Saya tak tahulah…itu mungkin persepsi beliau (Zahid).”
Beliau berkata, pemimpin mempunyai hak masing-masing untuk menyertai mana-mana parti dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.
Hamzah berkata, tindakan sesetengah pemimpin yang keluar parti tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Bersatu, malah menurutnya jumlah ahli parti itu meningkat sehingga 520,000 ahli berbanding 300,000 ahli sahaja tahun lepas.