Dakwaan manipulasi kapasiti katil Hospital Sibu tak benar

Dakwaan manipulasi kapasiti katil Hospital Sibu tak benar

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata pihak pengurusan hospital itu sebaliknya menambah bilangan katil bagi rawatan pesakit Covid-19.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, seramai 52 jururawat terlatih kontrak ditempatkan bersama 10 pegawai perubatan dari Semenanjung yang akan dimobilisasi ke Hospital Sibu pada 5 Okt hingga 24 Dis.
PETALING JAYA:
Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Mohamed Sapian Mohamed menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan terdapat manipulasi denominasi kapasiti katil di Hospital Sibu.

Beliau berkata, pihak pengurusan hospital itu menambah bilangan katil bagi rawatan pesakit Covid-19 mengikut keperluan semasa berdasarkan peningkatan kemasukan pesakit.

“Data (kapasiti katil) adalah dinamik, iaitu berlaku penambahan dan pengurangan bilangan katil bagi rawatan Covid-19 mengikut keperluan semasa, maka denominator jumlah kapasiti katil turut akan berubah dari semasa ke semasa,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, setakat Khamis, sebanyak 275 kes aktif yang sedang dirawat di wad Covid-19 hospital itu termasuk 147 pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima.

“Jumlah keseluruhan katil di Hospital Sibu adalah 642 katil dan masih terdapat kekosongan 157 katil bagi menampung pesakit baharu,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 52 jururawat terlatih kontrak ditempatkan bersama 10 pegawai perubatan dari Semenanjung yang akan dimobilisasi ke Hospital Sibu pada 5 Okt hingga 24 Dis bagi mengatasi sebarang isu kekurangan tenaga kerja.

Jelasnya, walaupun arahan pembekuan cuti terpaksa dilaksanakan demi kepentingan perkhidmatan, namun kelonggaran bercuti rehat akan diberikan sekiranya terdapat perkara yang melibatkan kebajikan petugas hospital seperti kes kecemasan.

“Malah cuti rehat turut dipertimbangkan kepada petugas yang mengalami masalah kepenatan atau kelesuan dan kurang sihat bagi menjamin kebajikan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.